Selasa, 12 Januari 2021 | 12:34pm

Pegawai Imigresen didakwa pengubahan wang haram, terima rasuah

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai Jabatan Imigresen didakwa di dua Mahkamah Sesyen berasingan di sini, hari ini atas enam pertuduhan terbabit dalam pengubahan wang haram lebih RM200,000 dan menerima rasuah RM15,000 bagi membantu melepaskan warga asing.

Yusrazif Wan Yusoh, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rozina Ayob dan Hakim Suzana Hussin.

Terdahulu, tertuduh yang hadir ke mahkamah memakai kemeja biru dan seluar hitam adalah antara yang ditahan dalam Ops Selat.

Di hadapan hakim Rozina, Yusrazif didakwa menerima wang RM215,990 daripada Yuen Hon Loong ke dalam akaun Alliance Islamic Bank Berhad milik Hong Loong di Alliance Islamic Bank Berhad, cawangan Putrajaya, antara 27 Februari 2019 dan 13 November 2020.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM5 juta atau mana lebih tinggi.

Sementara itu di hadapan hakim Suzana, Yusrazif didakwa atas lima tuduhan menerima wang tunai berjumlah RM15,000 daripada Voon Pot Lim dan Hon Loong yang mana dia mengetahui kedua-dua mereka mempunyai hubungan dengan kerja rasmi membabitkan pelepasan warga Filipina dan China melalui Kaunter Imigresen, Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Sepang.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Alliance Islamic Bank Berhad, cawangan Putrajaya, antara 28 Oktober dan 16 November 2020 dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nor Diana Nor Azwa, menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM berdekat pada setiap bulan.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya menerusi peguam Azrul Zulkifli Stork, memohon jaminan dikurangkan dengan alasan mempunyai empat anak dan menanggung ibu mentua berumur 65 tahun yang mengalami penyakit buah pinggang.

"Saya memohon pertimbangan mahkamah untuk memberikan jaminan RM50,000 kepada tertuduh," katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM55,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan dimohon peguam pendakwa.

Mahkamah turut membenarkan pertuduhan pengubahan wang haram dibicarakan bersama dan mengguna pakai jamin serta syarat sama selain menetapkan 18 Februari ini untuk sebutan semula bagi kedua-dua kes.

Pegawai Imigresen, Yusrazif didakwa di dua Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan pengubahan wang haram dan menerima rasuah tahun lalu. FOTO NSTP/AIZUDDIN SAAD
Pegawai Imigresen, Yusrazif didakwa di dua Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan pengubahan wang haram dan menerima rasuah tahun lalu. FOTO NSTP/AIZUDDIN SAAD
Berita Harian X