Isnin, 11 Januari 2021 | 6:50pm
Sampah yang dikumpulkan selepas banjir di tapak pembuangan sampah sementara di Taman Sri Jaya, Gong Pauh, Kemaman. Gelombang kelima banjir yang melanda daerah ini sejak Ahad minggu lalu meninggalkan lebih 60 tan sampah di kawasan terjejas. Antara barangan yang musnah dan dibuang di kawasan berkenaan adalah perabot, sofa, tilam, barangan elektrik dan pakaian. - Foto NSTP/Ghazali Kori

60 tan sampah dikumpul selepas banjir di Kemaman

CHUKAI: Gelombang kelima banjir yang melanda daerah ini sejak Ahad minggu lalu meninggalkan lebih 60 tan sampah di kawasan terjejas.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, berkata kerja pembersihan dilakukan kakitangan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) membabitkan seramai 200 kakitangan.

"Dengan keadaan sampah yang banyak ini, kita menjangkakan kerja pembersihan ini mengambil masa seminggu.

"Selain kakitangan MPK, kerja pembersihan turut dibantu kakitangan Majlis Daerah Hulu Terengganu dan Dungun serta pembabitan anggota bomba serta sukarelawan," katanya.

Tinjauan di kawasan pembuangan sampah sementara di Taman Sri Jaya, Gong Pauh, di sini, mendapati antara barangan yang musnah dan dibuang di kawasan berkenaan adalah perabot, sofa, tilam, barangan elektrik dan pakaian.

Selain daerah ini, daerah lain yang turut terjejas banjir adalah Dungun, Kemaman, Hulu Terengganu dan Setiu dengan mangsa yang dipindahkan seramai lebih 13,000 orang.

Daripada jumlah itu, Kemaman menjadi daerah paling teruk terjejas dengan lebih 11,000 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Antara kawasan yang teruk terjejas banjir, taman perumahan di sekitar Kampung Gong Pauh, Tempurung, Bukit Mentok, Bandar Baru Bukit Mentok, Pengkalan Pandan, Mak Lagam, Pasir Gajah, Felda Seberang Tayor, Air Putih, Teladas, Padang Kubu dan Cherul.

Sementara itu, banjir di negeri ini dilaporkan pulih sepenuhnya berikutan penutupan semua PPS di Kemaman dan Dungun jam 2 petang tadi.

Berita Harian X