Ahad, 10 Januari 2021 | 4:01pm

3 hospital Kedah masih mampu tampung pesakit COVID-19

ALOR SETAR: Tiga hospital di negeri ini masih mampu menampung pesakit COVID-19, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Dr Mohd Fikri Ujang.

Hingga kini ada 291 katil bagi merawat pesakit COVID-19 di Hospital Alor Setar, Hospital Kuala Nerang dan Hospital Sultanah Maliha, Langkawi.

"Ia masih boleh ditambah dan kita juga sudah membuka Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) yang mana akan ditambah jika ada keperluan.

"Buat masa ini ada tiga PKRC di Kedah iaitu PKRC Asrama Jururawat Kuala Nerang (72 katil), PKRC Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM), Sungai Patani (200 katil) dan PKRC Penjara Pokok Sena (100 katil)," katanya dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Fikri berkata pihaknya merancang membuka PKRC baharu di ILKKM Kulim yang mampu menampung 300 katil.

Selain itu, katanya JKN turut menghantar petugas kesihatan dari Kedah ke zon merah dan mereka akan dipanggil balik sekiranya kes di Kedah terus meningkat.

Berita Harian X