Sabtu, 9 Januari 2021 | 7:23pm
Sebanyak 48,146 pemeriksaan dilakukan anggota Task Force Operasi Pematuhan PKP, semalam - Ismail Sabri. FOTO BERNAMA
Sebanyak 48,146 pemeriksaan dilakukan anggota Task Force Operasi Pematuhan PKP, semalam - Ismail Sabri. FOTO BERNAMA

372 individu ditahan ingkar PKP

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 372 individu semalam, kerana kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dengan kesemuanya sudah dikompaun.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kesalahan itu termasuk aktiviti di pusat hiburan membabitkan 105 orang, gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (95), tidak memakai pelitup muka (93) serta gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (76).

"Task Force Operasi Pematuhan diketuai PDRM membuat 48,146 pemeriksaan semalam, bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Sebanyak 2,686 pasukan pematuhan membabitkan 11,901 anggota membuat pemantauan terhadap 3,480 pasar raya; 4,657 restoran; 1,796 penjaja; 1,273 kilang; 3,204 bank dan 559 pejabat kerajaan.

"Turut dipantau sebanyak 853 terminal pengangkutan darat; 268 terminal pengangkutan air serta 72 terminal pengangkutan udara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengenai Operasi Benteng semalam, Ismail Sabri berkata, seramai 26 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditangkap, manakala sembilan kenderaan darat dirampas.

Katanya, sebanyak 113 sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan pada hari sama, membabitkan pelbagai agensi keselamatan termasuk PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutama di lorong tikus," katanya.

Berita Harian X