Sabtu, 9 Januari 2021 | 5:16pm
Pelan Bantuan Banjir ditawarkan BSN membolehkan pelanggan menangguhkan bayaran ansuran selama enam bulan. FOTO NSTP
Pelan Bantuan Banjir ditawarkan BSN membolehkan pelanggan menangguhkan bayaran ansuran selama enam bulan. FOTO NSTP

BSN tawar penangguhan bayaran ansuran

KUALA LUMPUR: Bank Simpanan Nasional (BSN) mengumumkan pelan Bantuan Banjir kepada pelanggan terjejas banjir yang sedang melanda beberapa negeri ketika ini.

Pelan itu membabitkan penangguhan bayaran ansuran pembiayaan sehingga enam bulan kepada pelanggan yang layak.

Ketua Pegawai Operasi BSN, Kameel Abdul Halim, berkata pelan itu diwujudkan khas bagi mengurangkan beban ditanggung pelanggan.

Katanya, mereka sedia maklum mengenai kesukaran dialami pelanggan akibat hujan lebat dan banjir di luar jangkaan, terutama di negeri pantai timur yang menyebabkan banyak rumah, kenderaan, perniagaan dan sebagainya terjejas, sekali gus memberi kesan kepada urusan harian dan sumber pendapatan mereka.

"Kami memahami sesetengah pelanggan memerlukan penangguhan dalam melaksanakan tanggungjawab kewangan mereka pada saat genting seperti ini.

"Pihak bank akan memproses dan menilai setiap permintaan mengikut keadaan masing-masing," katanya dalam kenyataan hari ini.

Maklumat lanjut mengenai pelan Bantuan Banjir, layari www.bsn.com.my atau menghubungi Pusat Hubungan Pelanggan BSN di talian 1-300-88-1900 atau emel kepada bantuanbanjir@bsn.com.my. - BERNAMA

Berita Harian X