X
Sabtu, 9 Januari 2021 | 2:29pm
Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS 2.0 IHSAN KKM
Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS 2.0 IHSAN KKM

Menteri di JPM nafi MAEPS tidak terurus

ALOR GAJAH: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof hari ini, menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor tidak terurus.

Beliau sebaliknya menegaskan masih ada banyak ruang yang mampu memuatkan pesakit positif COVID-19 tetapi tidak bergejala berikutan hanya ada kira-kira 6,000 pesakit sekarang berbanding kemampuan sebenarnya menampung 8,028 pesakit.

Katanya, sudah lumrah berlaku apabila tempat yang penuh sesak dengan orang ramai, keadaan akan menjadi kurang teratur tetapi ia tidak mencapai tahap serius seperti yang tular dalam laman sosial kononnya pusat itu menjadi kelam-kabut sekarang.

"MAEPS mampu menampung 8,028 pesakit positif tetapi tidak bergejala dan sudah semestinya apabila sudah ramai pesakit, bermacam-macam kerenah dalam kalangan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan pakaian, kasut dan beg sekolah kepada 1,100 murid dari 101 sekolah dalam Parlimen Alor Gajah pada program Kembali ke Sekolah di Balai Raya Ganun, Gadek di sini.

Sebanyak RM165,000 disediakan bagi membolehkan murid daripada golongan keluarga B40 memperoleh barangan bernilai RM150 seorang, sekali gus meringankan beban ibu bapa menyediakan peralatan persekolahan menjelang sesi persekolahan bermula pada 22 Januari ini.

Mohd Redzuan (kiri) menyampaikan barangan persekolahan kepada murid pada program Kembali ke Sekolah di Balai Raya Ganun, Gadek Alor Gajah, hari ini.- Foto/Hassan Omar
Mohd Redzuan (kiri) menyampaikan barangan persekolahan kepada murid pada program Kembali ke Sekolah di Balai Raya Ganun, Gadek Alor Gajah, hari ini.- Foto/Hassan Omar

Beliau mengulas keadaan di PKRC berkenaan yang tular dalam laman sosial kononnya keadaan menjadi tidak terurus berikutan kesesakan pesakit yang didakwa terlalu ramai.

Mohd Redzuan menjelaskan, pesakit terbabit harus menyesuaikan diri dengan keadaan di PKRC dan tidak seharusnya menganggap segala-galanya perlu disediakan untuk mereka.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan segala kekurangan di pusat berkenaan akan cuba diatasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dari semasa ke semasa dan pesakit diminta memberikan kerjasama bagi memastikan segala urusan berjalan lancar.

"Contohnya, perut saya mungkin tidak sesuai jika minum air mentah di negeri lain berbanding di Kuala Lumpur dan tidak mungkin saya boleh meminta kerajaan negeri itu menyediakan sistem rawatan air yang khusus untuk saya sahaja," katanya

Katanya, hanya pesakit positif tetapi tidak bergejala yang ditempatkan di PKRC 2.0 MAEPS manakala yang bergejala atau benar-benar sakit dirawat di hospital.

Berita Harian X