Sabtu, 9 Januari 2021 | 7:09am

Tenom kini zon merah

KOTA KINABALU: Daerah Tenom bertukar menjadi zon merah semalam apabila merekodkan lebih 40 kes aktif COVID-19.

Ia sekali gus menjadikannya zon merah ke-22 direkodkan di Sabah, setakat ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata sebanyak enam kes baharu dicatatkan di daerah terbabit.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) jumlah kes positif baharu COVID-19 semalam adalah sebanyak 401 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 39,854 kes.

"Empat kes kematian direkodkan iaitu dua kes di Sandakan dan dua kes di Kota Kinabalu," katanya dalam satu sidang media secara langsung mengenai perkembangan harian COVID-19 di Sabah, semalam.

Masidi ketika ditanya mengenai pendirian Sabah sekiranya akan mengikut jejak langkah Sarawak untuk mengarahkan guru yang kembali ke negeri berkenaan untuk kuarantin, beliau menjelaskan sebarang perubahan yang diperlukan mengenai perkara itu akan dilakukan sekiranya diperlukan.

"Setakat ini, tiada perubahan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada, tetapi kita akan menilai semula situasi harian dan akan membuat sebarang perubahan sekiranya perlu.

"Di Sabah, SOP yang digariskan adalah jika mereka membuat ujian saringan dan keputusan adalah negatif, tak mengapa. Apa yang saya ingin tekankan adalah SOP dan orang ramai harus lebih serius terhadapnya," katanya.

Berita Harian X