Jumaat, 8 Januari 2021 | 8:48pm
Kerja pembaikan pecah di Cheras dijangka selesai pada jam 6 pagi esok.
Kerja pembaikan pecah di Cheras dijangka selesai pada jam 6 pagi esok.

121 kawasan di KL, Petaling dan Hulu Langat alami gangguan bekalan air

KUALA LUMPUR: Sebanyak 121 kawasan di Lembah Klang khasnya di Cheras, Petaling dan Hulu Langat mengalami gangguan bekalan air susulan paip pecah di Cheras hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri, berkata kerja pembaikan paip pecah yang berpunca daripada pihak ketiga di Jalan Sering, Taman Sungai Sering, dekat Cheras giat dilaksanakan.

"Kerja pembaikan dijangka selesai sepenuhnya pada jam 3 pagi nanti. Bekalan air akan mula disalurkan kepada pengguna selepas kerja pembaikan siap dilaksanakan.

"Kerja pembaikan ini mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual di 121 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling dan Hulu Langat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Air Selangor turut menggerakkan bantuan bekalan air melalui lori tangki ke kawasan terjejas.

"Air Selangor akan memaklumkan perkembangan proses pemulihan bekalan air di kawasan terjejas melalui www.airselangor.com, Facebook, Instagram dan Twitter atau menghubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300," katanya.

Berita Harian X