Isnin, 4 Januari 2021 | 2:16pm
Seorang petugas feri mengawal pergerakan keluar masuk kenderaan dan penumpang ke dalam dan keluar feri ketika tinjauan di pangkalan feri Triso hari ini. - Foto BERNAMA
Seorang petugas feri mengawal pergerakan keluar masuk kenderaan dan penumpang ke dalam dan keluar feri ketika tinjauan di pangkalan feri Triso hari ini. - Foto BERNAMA

Tragedi Triso: Tiada kenderaan lain di belakang kenderaan terhumban ke sungai - Pengawal

SEBUYAU, Sarawak: Pengawal di pelantar feri Triso, Lihi Chali, 60, berkata tidak ada kenderaan lain berada di belakang pikap yang menggelungsur sebelum terjunam ke sungai Batang Lupar, petang Jumaat lalu.

Beliau berkata, ketika kejadian kenderaan terbabit tiba-tiba menuruni pelantar dan terus masuk ke sungai.

"Ketika itu memang tidak ada feri di pelantar sebelah Muludam, kerana feri sudah pun berlepas jauh manakala feri yang hendak sampai ke pelantar kira-kira 40 meter jauhnya," katanya ditemui BERNAMA hari ini.

Beliau percaya pikap terbabit, mengalami masalah brek ketika kejadian. Kenderaan terbabit berada dalam air kira-kira 40 minit ketika penduduk kampung berhampiran membantu menyelamatkan semua mangsa.

Sementara itu, Lihi berkata seminggu sebelum kejadian itu, berlaku satu kemalangan apabila sebuah van melanggar bahagian pelantar naik ke feri, namun tiada yang cedera.

Dalam kejadian Jumaat lalu, sembilan sekeluarga termasuk seorang bayi dalam sebuah pikap terkorban, apabila kenderaan yang mereka naiki jatuh ke sungai Batang Lupar di pangkalan feri Triso.

Tinjauan di pangkalan feri itu hari ini mendapati kerja baik pulih pondok pengawal keselamatan sedang giat dilakukan manakala beberapa petugas feri kelihatan mengawal pergerakan keluar masuk kenderaan dan penumpang, ke dalam dan keluar feri.

Pemerhatian ini turut mendapati rata-rata pemandu kenderaan dan penumpang mematuhi arahan petugas jeti dan operasi feri didapati berjalan lancar.

Bagaimanapun, setakat ini kerja pembinaan penghadang di pelantar masih belum dilaksanakan seperti yang diarahkan Timbalan Ketua Menteri II Sarawak yang juga Menteri Infrastruktur dan Pelabuhan negeri, Tan Sri Dr James Masing pada Sabtu lalu. – BERNAMA

Berita Harian X