Ahad, 3 Januari 2021 | 12:00pm

Perkasa pertahanan negara, pertingkat jaga kebajikan tentera

SEJAK negara dilanda COVID-19, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi antara individu paling popular di Malaysia, saban hari muncul di kaca televisyen memberi makluman perkembangan semasa tindakan yang diambil kerajaan bagi mengekang penularan. Namun, tanggungjawabnya bukan setakat itu kerana beliau juga menerajui Kementerian Pertahanan (MINDEF), antara kementerian kritikal dalam pentadbiran kerajaan.

Wartawan BH, Mohd Iskandar Ibrahim dan Safeek Affendy Razali menemubual menteri kanan ini mengenai misi, visi dan hala tuju kementeriannya bagi tahun ini, selain cabaran dan rutin dilalui sepanjang 'perang' melawan virus berbahaya, musuh tidak kelihatan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sesi temubual bersama BH di Kementerian Pertahanan. - NSTP/Asyraf Hamzah
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sesi temubual bersama BH di Kementerian Pertahanan. - NSTP/Asyraf Hamzah

Soalan (S): Boleh Datuk Seri perjelaskan apakah misi, visi dan hala tuju MINDEF bagi 2021, terutama terhadap sektor pertahanan negara?

Jawapan (J): Pertama, fokus kita adalah memperkasakan dari segi kesiapsiagaan dan kekuatan pertahanan. Tahun ini, kita bernasib baik kerana bertuah mendapat peruntukan yang agak besar, bukan sahaja dari segi penyelenggaraan, tetapi juga dari segi pembelian aset baharu bagi tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Dengan peningkatan aset baharu ini, kita percaya kesiapsiagaan akan lebih tinggi berbanding sebelum ini. Kedua, kita akan fokus kepada pertahanan sempadan.

Misalnya di Pantai Timur Sabah, kita akan mendirikan kem baharu di Lahad Datu, iaitu di kawasan FELDA Sahabat dan sudah diluluskan. Bajet sudah ada, cuma tunggu kelulusan Kementerian Kewangan untuk pembinaan. Di kawasan sempadan juga, kita akan bina lebih banyak pos kawalan. Sekarang untuk Sabah dan Sarawak, kita ada 17 pos kawalan sempadan dan kita akan tambah 19 lagi, iaitu 17 di Sarawak dan dua di Sabah.

Begitu juga di utara Semenanjung, kita akan tambah dua lagi pos kawalan sempadan dan ini membabitkan kawalan sempadan bersama tentera Thailand. Pertahanan kita di laut juga akan dipertingkatkan kerana dari segi sejarah, negara kita memiliki kekuatan maritim sejak Zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Malah, Malaysia juga adalah sebuah negara maritim, negara kita dikelilingi laut, baik di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

S: Apa antara perolehan aset baharu bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan keupayaan ATM?

J: Antaranya, kita sedang memperoleh Kapal Misi Pesisir (LMS). Kita ada empat semuanya, satu sudah kita peroleh di Sabah dan baki akan sampai tidak lama lagi. Bagaimanapun, kita ada sedikit masalah membabitkan perolehan Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS). Kalau ikutkan, kita ada enam kapal yang besar, tetapi disebabkan ada isu, ia tidak dapat diteruskan. Isu LCS ini masih diperhalusi. Semua proses perolehan aset lain sedang dalam tindakan kementerian.

S: Bagaimana pula dengan kebajikan anggota tentera. Apakah perancangan Datuk Seri dalam meningkatkan lagi kebajikan mereka?

J: Isu kebajikan anggota dan veteran sentiasa menjadi fokus utama saya. Antaranya isu perumahan yang perlu diselesaikan. Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) sebagai contoh, di mana 33,000 lagi (rumah untuk anggota) akan kita cuba selesaikan. Jika kita mengharapkan dari segi bajet, memang akan selesai lewat, tetapi pelbagai cara lain akan kita usahakan untuk selesaikan isu ini.

Begitu juga rumah apabila mereka pencen. RKAT adalah untuk mereka yang masih bertugas dan apabila pencen, mereka tidak ada rumah dan akhirnya menyewa secara berterusan. Jadi, kita akan memberikan tumpuan kepada inisiatif Satu Anggota Satu Rumah (SASaR), di mana mereka boleh membeli rumah dengan harga yang murah, kita bagi diskaun dan apabila bersara, mereka boleh memiliki rumah sendiri. Untuk veteran pula, sebelum mereka pencen, kita akan beri latihan sesuai dengan kehendak mereka dan keperluan semasa. Sebagai contoh perniagaan e-dagang, kita akan melatih mereka.

Begitu juga penggunaan gajet yang menjadi fenomena, mereka hendak menceburi bidang vokasional baiki telefon pintar sebagai contoh, kita boleh berikan latihan kepada mereka. Kita ada latihan di bawah Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT). Malah, dalam pembentangan Belanjawan 2021 baru-baru ini, kerajaan memberi peruntukan RM30 juta. Jadi kita akan pastikan sebelum mereka bersara, kita latih mereka supaya apabila pencen kelak, mereka memiliki kemahiran yang diperlukan.

S: Penyelidikan dan pembangunan (R&D) memainkan peranan penting dalam meningkatkan sistem pertahanan negara. Setakat mana kemampuan ATM dalam bidang ini?

J: R&D antara fokus penting yang akan kita beri tumpuan pada tahun ini. Kita mahu menjadikan Malaysia sebagai negara yang terbabit dalam industri pertahanan. Setakat ini, banyak pihak swasta yang terbabit dalam industri ini, tetapi tidak mencukupi, kita masih belum dikenali (pada peringkat antarabangsa). Malah, peralatan dan aset kita, semuanya diimport dari luar.

Jadi kalau boleh suatu hari nanti, kita juga boleh menjadi negara pengeluar (aset pertahanan). Bagi memperkasakan strategi menjadikan Malaysia sebagai negara industri pertahanan, kita perlu memastikan bidang R&D diperkasakan. Kita ada program untuk R&D, tetapi bajetnya amat terhad. Jadi dalam Rancangan Malaysia Ke-12, kita sudah memberikan cadangan supaya bajet lebihan diberikan untuk R&D.

Anggota tentera daripada Batalion Ke-6 Rejimen Askar Melayu Diraja (6 RAMD) mendengar taklimat sebelum melakukan rondaan di kawasan Op Benteng di Pos Tok O Lubok Stol, Rantau Panjang, 28 November 2020. - Foto BERNAMA
Anggota tentera daripada Batalion Ke-6 Rejimen Askar Melayu Diraja (6 RAMD) mendengar taklimat sebelum melakukan rondaan di kawasan Op Benteng di Pos Tok O Lubok Stol, Rantau Panjang, 28 November 2020. - Foto BERNAMA

S: Sejak penularan COVID-19 di Malaysia, kehadiran dan penugasan anggota tentera dilihat semakin menyerlah dan di luar kebiasaan. Bagaimana Datuk Seri melihat perkara ini?

J: Kalau kita lihat pada waktu (penularan) COVID-19 ini, kita nampak kehadiran tentera. Kalau dahulu, orang tidak rasa kehadiran ini sebab tentera agak terpisah sedikit dengan masyarakat. Orang menganggap tentera untuk berperang sahaja, itu mentaliti rakyat mengenai tentera, tetapi hari ini, kita lihat apabila COVID-19 melanda, tentera terbabit dalam menjaga pematuhan rakyat kepada prosedur operasi standard (SOP) dan sebagainya.

Kehadiran anggota tentera boleh dilihat di sekatan jalan raya, rondaan bersama pihak polis, membantu dari segi pematuhan SOP. Selain itu, kita boleh melihat peranan tentera menerusi Op Benteng dalam kawalan kawasan sempadan daripada dibolosi pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menjadi punca penularan COVID-19 dan juga jenayah rentas sempadan.

S: Pada sidang media harian mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Datuk Seri sering menyebut mengenai National Task Force (NTF). Boleh kongsikan apa itu NTF dan peranannya?

J: NTF ini adalah pembabitan tentera secara langsung kerana tentera yang mewujudkan NTF ini. NTF dianggotai oleh 19 agensi penguatkuasaan dan di teraju oleh ATM. Selain ATM, NTF antaranya dianggotai polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta beberapa agensi lain. Jadi, NTF ini banyak menjalankan operasi menerusi Op Benteng dan ini jelas menunjukkan pembabitan tentera mengetuai NTF.

Sebenarnya bukan itu sahaja, pembabitan tentera dalam tempoh mencabar yang dihadapi negara boleh dilihat dalam pelbagai perkara, antaranya dari segi perubatan. Apabila kita melihat peningkatan kes COVID-19 di Sabah baru-baru ini, ATM memainkan peranan membina hospital medan di Kota Kinabalu dan Tawau. Ini jelas menunjukkan peranan anggota tentera sebenarnya pelbagai, bukan seperti persepsi segelintir pihak yang melihat tentera hanya diperlukan ketika peperangan. Malah, dulu ada seorang ahli perniagaan menuduh tentera hanya tahu makan dan tidur.

Tuduhan sebegitu disebabkan persepsi buruk terhadap anggota tentera. Jika kita melihat peranan dan fungsi ATM ketika ini, sudah jelas bahawa tentera terbabit dalam segala-galanya. Anggota tentera memiliki kemahiran yang pelbagai, sesuai dengan cabaran dan keadaan semasa.

Malah, yang membantu penghantaran barangan ke Sabah berikutan kes COVID-19 adalah Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Apabila sampel COVID-19 diperoleh, makmal tidak mencukupi di Sabah, tenteralah yang setiap hari menerbangkan sampel untuk dibawa ke makmal di Semenanjung. Ini belum lagi pelbagai program kerakyatan seperti Jiwa Murni, bina jambatan dan rumah.

Anggota TLDM sedang membuat persiapan sebelum melaksanakan Op Benteng dengan khidmat KD Lekiu semasa melaksanakan Op Benteng di sekitar perairan Selat Melaka Utara, 5 Jun 2020. - Foto BERNAMA
Anggota TLDM sedang membuat persiapan sebelum melaksanakan Op Benteng dengan khidmat KD Lekiu semasa melaksanakan Op Benteng di sekitar perairan Selat Melaka Utara, 5 Jun 2020. - Foto BERNAMA

Anggota tentera melakukan kerja-kerja membuka kawad duri berikutan kerajaan menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Putra Point Nilai, 1 Disember 2020. - Foto BERNAMA
Anggota tentera melakukan kerja-kerja membuka kawad duri berikutan kerajaan menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Putra Point Nilai, 1 Disember 2020. - Foto BERNAMA

S: Susulan insiden anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) ditembak sehingga seorang terbunuh dan seorang parah di sempadan utara negara, baru-baru ini, apakah tindakan diambil bagi mengelak perkara serupa berulang?

J: Dari segi kawalan sempadan, kita bahagi kawasan antara polis dan ATM. Macam di kawasan utara, iaitu di Wang Kelian, Perlis sehingga Bukit Kayu Hitam di Kedah adalah di bawah kawalan polis. Dari Bukit Kayu Hitam hingga Kelantan pula, ia di bawah ATM. Cuma sekarang, saya mencadangkan supaya dilakukan kawalan di sempadan secara bersepadu menggunakan strategi Op Benteng.

Saya difahamkan, Panglima Angkatan Tentera sudah berjumpa dengan agensi lain untuk berbincang dari segi kawalan bersama. Dari segi aset dan maklumat perisikan, boleh digunakan secara bersama dan saya rasa ia lebih elok berbanding kita jaga bersendirian.

Tetap ambil kira komen netizen di media sosial

S: Kebelakangan ini peningkatan kes COVID-19 dilihat agak membimbangkan. Pada pandangan Datuk Seri, apa yang menyebabkan ia berlaku, terutama di Lembah Klang?

J: Di Lembah Klang banyak kawasan industri. Sebab itu kita lihat kes yang berlaku bermula di kawasan industri dan tapak binaan. Sebenarnya, lebih mudah untuk kita mengenal pasti dari segi kawalan kerana kita tahu siapa yang terbabit. Apabila kita menutup kawasan berkenaan, mudah untuk kita kesan dan kawal, tetapi apa yang membimbangkan kita apabila penularan masuk ke dalam komuniti. Sebab itu, kita cuba sekat ini daripada berlaku. Sebelum dimasukkan ke pusat kuarantin, pekerja asing seperti yang kita tahu rutin mereka, akan ke pasar malam, kedai mamak. Itu yang membimbangkan kita kerana akan menjangkiti orang lain.

Kerajaan bagaimanapun sudah membuat keputusan mengarahkan semua pekerja asing di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan menjalani saringan wajib. Jika dahulu, ada majikan liat dan enggan patuh, kita sudah buat keputusan menggunakan Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) untuk memastikan mereka (pekerja asing) disaring.

Jika gagal patuh, tindakan undang-undang akan diambil. Ada dua tindakan yang diambil, iaitu kompaun dan dakwa mereka (majikan) di mahkamah yang mana mereka boleh dikenakan hukuman penjara. Bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan, terdapat banyak industri di Lembah Klang selain jumlah penduduk padat. Jadi, penularan itu lebih cepat merebak berbanding kawasan lain.

S: Sejak Mac lalu, hampir setiap hari Datuk Seri muncul di kaca TV, dilihat begitu yakin pada sidang media, menjawab soalan begitu mudah dan kadangkala sambil berjenaka. Bagaimana Datuk Seri mendapat semangat dan keyakinan dalam membentangkan perkembangan PKP?

J: Sidang media biasanya dibuat selepas mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), sebenarnya lebih kepada laporan harian. Setiap keputusan dibincangkan secara bersama dengan pelbagai kementerian dan agensi. Setiap keputusan yang dibuat, kita mesti mendapatkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

Sebab itu, apabila mengumumkan perkara berkaitan PKP Bersyarat (PKPB) atau PKP Diperketatkan (PKPD), saya akan sebut atas nasihat KKM dan penilaian risiko dibuat KKM kerana kawalan pergerakan ini dibuat mengikut Akta 342 di bawah KKM.

Saya juga mendapat maklum balas orang ramai melalui WhatsApp, ramai yang tahu nombor saya dan akan sampaikan pandangan mereka, apa yang tak puas hati, disuarakan kepada saya. Begitu juga komen dalam FB (Facebook) dan Instagram saya, pandangan itu saya ambil dan berbincang dengan war room. Sebab itulah nampak agak relaks sedikit menjawab soalan.

S: Adakah antara maklum balas yang diterima daripada rakyat, termasuk hasil pemantauan media sosial membantu memperkasakan PKP?

J: Saya percaya memang pandangan daripada rakyat membantu memperkasa dan mempermudahkan kerja yang saya lakukan. Ini kerana mereka terbabit secara langsung, mereka berada di akar umbi, apa yang kita putuskan (disampaikan) terus kepada mereka. Kalau ada isu yang mereka tak puas hati, mereka beritahu saya, sebenarnya itu melalui pengalaman mereka. Mereka beri pandangan macam mana (untuk) tingkatkan (SOP). Sebab itu saya catatkan dan kita bincang pada mesyuarat khas menteri.

S: Dengan mesyuarat hampir setiap hari, terutama isu berkaitan PKP, bagaimana Datuk Seri menjaga kesihatan setiap kali bersiaran langsung?

J: Saya ada mengambil suplemen seperti vitamin C, itu wajib sebab tidur pun tak cukup. Saya juga ada mengambil multivitamin sebab vitamin asas dalam badan kita terdapat dalam multivitamin terbabit. Saya juga ada melakukan senaman ringan dan selalunya selepas solat Subuh, saya akan meneliti perkara yang akan dibawa ke mesyuarat.

Kebiasaannya pada waktu malam atau awal pagi, saya akan melihat komen netizen di media sosial dan daripada situ, saya tahu mereka sebenarnya memberi perhatian terhadap laporan PKP yang saya bentangkan walaupun ada beberapa komen mencuit hati seperti ada yang mahu lock (beli) barangan serta baju yang saya pakai (semasa sidang media). Bagi saya, ia tetap satu perkara yang positif kerana ia bermakna mereka memberi perhatian terhadap laporan PKP.

S: Sempena tahun baharu 2021, apakah nasihat Datuk Seri kepada rakyat ketika negara masih berdepan ancaman COVID-19?

J: Nasihat saya, kerajaan sudah memberi banyak kelonggaran dan (jumlah) kes belum turun, masih dalam empat angka. Kelonggaran yang paling kita bimbangkan adalah rentas negeri dan daerah. Kalau kita lihat, kenderaan penuh di jalan raya, malah saya difahamkan, pusat peranginan dan percutian penuh, tempahan hotel juga penuh.

Jadi, walaupun kita memberikan kelonggaran dan kebebasan, kita kena tahu untuk jaga diri kita. Bukan polis yang jaga kita, bukan tentera yang jaga kita, tetapi diri kita sendiri kerana apabila kita dijangkiti COVID-19, keluarga kita juga akan dijangkiti, kawan kita akan dijangkiti dan masyarakat juga akan dijangkiti. Kita kena jaga kita dan saya nasihatkan supaya sentiasa amalkan kawalan kendiri. Patuhlah kepada SOP ditetapkan.

Berita Harian X