Jumaat, 1 Januari 2021 | 5:54pm
Tun Mahathir Mohamad (kiri) bersama Lim Kit Siang. - Foto fail NSTP
Tun Mahathir Mohamad (kiri) bersama Lim Kit Siang. - Foto fail NSTP

Kit Siang sanggah kenyataan Tun M

KUALA LUMPUR: Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa DAP tidak mampu memenangi lebih 18 kerusi Parlimen tanpa bantuannya dibantah pemimpin parti itu yang menyifatkannya sebagai tidak tepat.

Pemimpin veteran DAP yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang, berkata sejarah pilihan raya umum di negara ini, membuktikan DAP mampu memenangi lebih kerusi Parlimen.

"Kenyataan Dr Mahathir yang mengatakan DAP tidak akan memenangi lebih daripada 18 kerusi Parlimen tanpa bantuannya adalah salah.

"DAP pernah memenangi 24 kerusi pada tahun 1986, 20 kerusi pada tahun 1990, 28 kerusi pada tahun 2008 dan 38 kerusi pada tahun 2013, sebelum memenangi 42 kerusi pada tahun 2018," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri itu dalam temubual dengan akhbar berbahasa Mandarin baru-baru ini, bahawa DAP yang tidak mampu memenangi lebih daripada 18 kerusi Parlimen, berjaya memenangi 42 kerusi pada PRU lalu kerana sokongan orang Melayu yang dibawanya.

Kit Siang mendakwa, walaupun DAP sentiasa dimomokkan dengan pelbagai penipuan, fitnah dan berita palsu kononnya anti-Islam dan anti-Raja selama lima dekad lalu, parti itu kekal komited dengan cita-cita menubuhkan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, bahasa, agama dan budaya.

Tegasnya, DAP tidak pernah sama sekali menentang mana-mana kaum atau agama apatah lagi sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia.

"Kami mahukan setiap orang di Malaysia, sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan atau Iban untuk mempunyai kesedaran, identiti, dan cita-cita sebagai rakyat Malaysia," katanya.

Malah, beliau mendakwa, parti itu berjaya melahirkan pemimpin Melayu seawal PRU pada 1969, apabila dua pemimpin Melayu DAP dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

"Sebelum Pilihan Raya Umum 1974, sekiranya DAP berjaya memenangi negeri Perak, ADUN DAP Tapah Road, Ibrahim Singgeh, akan menjadi Menteri Besar Perak," katanya selain memberi contoh antara pemimpin Melayu yang dilahirkan DAP seperti Abdul Aziz Bari (ADUN Tebing Tinggi, Perak), Young Syefura Othman (ADUN Ketari, Pahang) dan Jamaliah Jamaluddin (ADUN Bandar Utama, Selangor).

Berita Harian X