Jumaat, 1 Januari 2021 | 2:48pm
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin. - Foto BERNAMA
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin. - Foto BERNAMA

KDN arah operasi SAR bot nelayan karam dipertingkat

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengarahkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) insiden bot nelayan karam di perairan Pulau Perhentian, Terengganu dipertingkatkan susulan seorang daripada lima mangsa masih hilang.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata pihaknya sudah mengarahkan aset strategik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terdiri daripada kapal maritim KM AMAMAH, bot laut KILAT 28 dan pesawat udara AW139 ke lokasi kejadian.

Katanya, operasi SAR itu turut dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Taman Laut dan agensi kerajaan lain.

"KDN akan terus memantau situasi dari semasa ke semasa selain menyelaras operasi secara bersepadu bersama agensi-agensi kerajaan yang terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam insiden bot karam semalam, empat daripada lima nelayan ditemukan selamat di Pantai Coral View, Pulau Perhentian Besar, kira-kira jam 8.45 pagi tadi, manakala seorang lagi masih hilang.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad, dilaporkan berkata kesemua mangsa ditemui lengkap memakai jaket keselamatan oleh penduduk kampung dan dibawa ke Klinik Kesihatan Pulau Perhentian untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, mangsa selamat adalah tekong bot, Tuan Azaha Tengku Long, 47, dan tiga awak-awak iaitu Mohd Azri Mohd Rosdi, 28; Tuan Azrizal Tuan Azhar, 19, dan seorang lagi dikenali sebagai Ujang, 40.

Bagaimanapun seorang lagi mangsa, Saari Saleh, 40-an masih hilang.

Berita Harian X