Jumaat, 1 Januari 2021 | 10:41am
 Foto hiasan
Foto hiasan

Bot karam dilanda ribut, 5 nelayan dikhuatiri lemas

JERTIH: Lima nelayan dikhuatiri lemas apabila bot dinaiki mereka karam berhampiran perairan Pulau Perhentian, Besut, semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad, berkata, kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu membabitkan sebuah bot nelayan milik warga tempatan dalam perjalanan ke lokasi untuk menangkap ikan.

Katanya, bot itu dinaiki seorang tekong dan empat awak-awak karam dipercayai akibat bocor dan cuaca buruk.

"Pengadu memaklumkan berdasarkan perbualan telefon dengan tekong bot lain, mangsa sempat memanggil mereka untuk meminta bantuan kerana bot mangsa dimasuki air ketika berada berdekatan perairan Kelantan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Tuan Azaha Tengku Long @ Mansor, 46, (tekong) dari Kampung Tebing Tinggi, Pasir Puteh, Kelantan.

Empat awak-awak dikenali sebagai Ujang, 30, dari Penarik, Setiu, Terengganu; Mamat, 24 dari Tok Bali; Sakri, 30, dari Pasir Puteh dan anak kepada tekong bot Mat Rizal, 21.

Abdul Rozak berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 7.15 malam.

"Tindakan dilakukan dengan memaklumkan kepada pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang segera ke lokasi kejadian.

"Operasi mencari dan menyelamat disertai 25 anggota Maritim Malaysia Tok Bali dengan sebuah bot serta tiga anggota polis Balai Polis Pulau Perhentian," katanya.

Berita Harian X