Ahad, 27 Disember 2020 | 10:47am

Mayat bakal pengantin lemas ditemukan

MARANG: Mayat bakal pengantin lelaki yang dijadual melangsungkan perkahwinan semalam ditemukan di tepi pantai Kampung Alur Tuman, di sini, pagi ini.

Mayat Naim Hariri Kamaruddin, 31, dari Cheras ditemui pasukan penyelamat terdampar di tepi pantai pada jam 8.55 pagi kira-kira tiga kilometer dari lokasi dilaporkan lemas.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris, berkata pasukan penyelamat yang diketuainya sendiri sebelum itu melakukan rondaan di kawasan berkenaan sebelum menemui mayat seorang lelaki di atas pasir di pantai berkenaan.

Operasi mencari dan menyelamat Naim Hariri di Pantai Kelulut, semalam. - Foto NSTP/Zatul Iffah Zolkiply
Operasi mencari dan menyelamat Naim Hariri di Pantai Kelulut, semalam. - Foto NSTP/Zatul Iffah Zolkiply

"Kita sudah memanggil bapa mangsa untuk membuat pengecaman sebelum dia mengesahkan mayat itu adalah anaknya.

"Berdasarkan keadaan mayat itu, tiada sebarang kecederaan dan mayat akan dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu sebaik pihak forensik melakukan siasatan.

"Dengan penemuan mayat ini, operasi mencari dan menyelamat membabitkan lelaki yang dilaporkan lemas di Pantai Kelulut ditamatkan jam 11 pagi dan fokus kita kini pada pencarian kes lemas di Pantai Jambu Bongkok," katanya ketika ditemui di lokasi pencarian di Kampung Kelulut, di sini, hari ini.

Naim Hariri dilaporkan hilang selepas ditarik ombak ketika mandi di Pantai Kelulut pada jam 6.40 petang kelmarin.

Mangsa datang bersama ahli keluarga ke daerah ini untuk melangsungkan pernikahan bersama pasangannya, Fatin Nabilah Huda Ismail, 27, yang dijadualkan semalam.

Media sebelum ini turut melaporkan seorang lelaki berusia 48 tahun dari Hulu Terengganu dikhuatiri lemas selepas mandi bersama enam rakannya sebelum ditarik ombak ke tengah laut di Pantai Jambu Bongkok, Dungun.

Land rover polis yang membawa mayat Naim Hariri (gambar kecil) yang lemas di Pantai Kelulut di sini. - NSTP/Zatul Iffah Zolkiply
Land rover polis yang membawa mayat Naim Hariri (gambar kecil) yang lemas di Pantai Kelulut di sini. - NSTP/Zatul Iffah Zolkiply
Berita Harian X