Sabtu, 26 Disember 2020 | 6:40pm

Operasi SAR 2 lelaki dikhuatiri lemas diteruskan

MARANG: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lelaki yang dikhuatiri lemas di daerah ini akan diteruskan tanpa henti.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, pencarian membabitkan jarak sejauh 42 kilometer (km) bermula dari Kuala Marang hingga Kuala Abang, Dungun.

"Operasi hari ini bermula jam 7 pagi dan kita merancang untuk memberhentikan operasi jam 12 tengah malam tetapi sekiranya perlu operasi akan diteruskan tanpa henti selama 24 jam.

"Kebiasaannya dalam tempoh 24 jam, mangsa lemas akan timbul di permukaan air dan kita akan kerahkan semua logistik yang ada," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Mohd Zain berkata, seramai 110 anggota membabitkan pelbagai agensi dikerahkan untuk operasi SAR iaitu seramai 62 di Pantai Kelulut manakala 48 orang lagi di Pantai Jambu Bongkok.

Katanya, selain aset seperti bot, operasi turut melakukan rondaan menggunakan motosikal lasak dan jet ski.

"Melihat kepada keadaan ombak ketika ini, kita tidak menolak kemungkinan mangsa dibawa arus ke tengah laut kerana air pasang ketika kejadian berlaku semalam dan pagi tadi, air pula surut.

"Selain itu, keadaan air di pesisir pantai agak keruh dan menyukarkan kita mengesan mangsa.

"Sehingga kini, tiada sebarang petunjuk membabitkan kedua-dua mangsa," katanya.

Media melaporkan dua lelaki termasuk seorang bakal pengantin dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Kelulut dan Pantai Jambu Bongkok, di sini semalam.

Dalam kejadian jam 6.40 petang di Pantai Kelulut, bakal pengantin, Naim Hariri Kamaruddin, 31, dari Cheras hilang selepas ditarik ombak ketika mandi di pantai berkenaan.

Seorang lelaki berusia 48 tahun dari Hulu Terengganu pula dikhuatiri lemas selepas mandi bersama enam rakannya sebelum ditarik ombak ke tengah laut di Pantai Jambu Bongkok.

MOHD Zain ketika ditemui di lokasi kejadian lemas di Pantai Kelulut Marang. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
MOHD Zain ketika ditemui di lokasi kejadian lemas di Pantai Kelulut Marang. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Berita Harian X