Sabtu, 26 Disember 2020 | 1:09pm
PPZ-MAIWP melanjutkan waktu operasi 10 kaunter hingga jam 8 malam selama empat hari, 28 hingga 31 Disember ini. - Foto hiasan
PPZ-MAIWP melanjutkan waktu operasi 10 kaunter hingga jam 8 malam selama empat hari, 28 hingga 31 Disember ini. - Foto hiasan

PPZ-MAIWP lanjut operasi 10 kaunter zakat mulai 28 Disember

KUALA LUMPUR: Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) melanjutkan waktu operasi 10 kaunter hingga jam 8 malam selama empat hari, dari 28 hingga 31 Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff, berkata lanjutan masa operasi itu bagi memberi ruang kepada umat Islam menunaikan kewajipan berzakat sebelum berakhir tahun 2020.

"PPZ-MAIWP meminta orang ramai untuk menyegerakan bayaran zakat selewat-lewatnya 31 Disember bagi mendapatkan rebat cukai pendapatan tahun taksiran 2020.

"Namun begitu, orang ramai disarankan untuk membuat pembayaran zakat lebih awal bagi mengelakkan kesesakan di kaunter pada saat akhir," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff. - Foto fail NSTP
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff. - Foto fail NSTP

Ahmad Shukri berkata, pembayar yang membayar zakat di PPZ-MAIWP juga turut diberikan kelebihan diatas kesetiaan sekali gus dilindungi menerusi Skim Kafalah Muzakki.

Skim ini melayakkan waris untuk menerima sumbangan sejumlah RM3,000 jika berlaku kematian kepada pembayar zakat.

Selain itu, beliau berkata, bagi memastikan kelancaran proses di kaunter dan mengelakkan jangkitan COVID-19, pihaknya sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Tambahnya, pembayar juga boleh memilih saluran bayaran secara atas talian melalui portal PPZ-MAIWP iaitu di www.zakat.com.my, Kaunter Zakat Digital, perbankan internet dan juga e-Wallet.

Maklumat lanjut berhubung pembayaran zakat juga boleh didapati dengan menghubungi 1-300-88-5757.

Berita Harian X