Khamis, 24 Disember 2020 | 5:39pm

Penggunaan dron berkesan pantau sempadan, pencerobohan PATI

KUALA LUMPUR: Penggunaan dron berjaya meningkatkan keberkesanan pemantauan sempadan dan pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui Operasi Benteng (Op Benteng).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata dron mula digunakan dalam Op Benteng sejak Jun lalu dan berhasil mengesan insiden yang membawa kepada 55 tangkapan.

"Sejak digunakan pada Jun lalu, dron berjaya mengemukakan 55 laporan dan maklumat yang membawa kepada tangkapan. Memang tangkapan lebih banyak selepas dron digunakan.

"Dron amat sesuai digunakan di kawasan sempadan yang luas seperti Pantai Timur Sabah yang sukar untuk dikawal sepanjang masa," katanya pada sidang media mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di sini hari ini.

Katanya, walaupun ada pengawasan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), sukar untuk kawasan di timur Sabah dikawal sepenuh masa kerana pantainya terlalu luas.

"Jadi, penggunaan dron amat penting. Penggunaan dron di kawasan sempadan daratan juga penting supaya dapat meningkatkan keberkesanan ke tahap lebih tinggi," katanya.

Pada 2 Disember lalu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang dilaporkan berkata, jumlah dron untuk kawalan sempadan perlu ditambah supaya semua agensi keselamatan dapat menggunakannya.

Ditanya mengenai pembelian aset baharu untuk Op Benteng, Ismail Sabri berkata, kerajaan sudah menerima beberapa aset berteknologi tinggi merangkumi dron, radar dan pengesan serta lain-lain, yang dibeli menggunakan peruntukan khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kita juga membuat pembelian beberapa aset lain. Contohnya di sempadan utara negara, agensi penguatkuasaan dibekalkan dengan motosikal 'scrambler' serta 'All-terrain vehicle' (ATV) yang boleh memasuki kawasan luar jalan raya.

"Kita sedang membuat beberapa lagi perolehan untuk pembelian aset baharu berteknologi tinggi, termasuk peralatan untuk kawalan secara fizikal oleh anggota penguat kuasa," katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri memaklumkan, Op Benteng berjaya menahan 49 PATI serta merampas tujuh kenderaan darat dalam operasi yang diadakan di seluruh negara, semalam.

"Orang ramai diminta untuk menghubungi hotline Pasukan Petugas Kebangsaan di talian 011-6251 1223 untuk terus menyalurkan maklumat berkenaan PATI dan jenayah rentas sempadan," katanya.

ISMAIL Sabri
ISMAIL Sabri
Berita Harian X