Rabu, 23 Disember 2020 | 1:36pm
Kerajaan akan membina lebih banyak rumah mampu milik di seluruh negara. - Foto NSTP/MOHD AMIN JALIL
Kerajaan akan membina lebih banyak rumah mampu milik di seluruh negara. - Foto NSTP/MOHD AMIN JALIL

Kerajaan akan bina lebih banyak rumah mampu milik

KUALA LUMPUR: Sejumlah 12,964 unit Rumah Mampu Milik dalam pelbagai peringkat pelaksanaan di Sarawak sejak Julai 2018 hingga 30 September 2020.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib, berkata jumlah itu merangkumi 5,037 unit rumah dalam perancangan; 3,969 unit rumah dalam pembinaan; dan 3,958 unit rumah sudah disiapkan oleh tiga agensi penyedia perumahan yang membabitkan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pemaju swasta.

"Daripada jumlah itu, penyediaan Rumah Mampu Milik di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebanyak 9,864 unit. Jumlah ini merangkumi 3,133 unit rumah dalam perancangan; 2,895 unit rumah dalam pembinaan; dan 3,836 unit rumah sudah disiapkan," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021, di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata, antara pelan kementerian untuk membina lebih banyak rumah mampu milik di seluruh negara ialah melalui penyelarasan Rumah Mampu Milik menerusi pelaksanaan program dan skim perumahan membabitkan Program Perumahan Rakyat (PPR); Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM); Perumahan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA); dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Sementara itu, Ismail berkata, lapan projek PPR merangkumi 4,140 unit rumah siap dibina di Sarawak, manakala tiga lagi projek PPR masih dalam pembinaan membabitkan 1,112 unit rumah.

Bagi projek PPAM pula, katanya, sehingga Oktober lalu dua projek merangkumi 544 unit rumah siap dibina, tiga masih dalam pembinaan membabitkan 711 unit rumah dan dua projek dengan 538 unit rumah masih dalam peringkat kelulusan pelan bangunan serta perancangan.

Beliau berkata, setakat Disember 2020, terdapat tiga projek PR1MA di Sarawak dengan pelbagai status pembinaan dan daripada jumlah itu, dua projek siap dibina, iaitu Residensi Matang dan Residensi Bintawa Riverfront, manakala projek Residensi Semenggoh (Fasa 1) sedang dalam pembinaan dan projek Residensi Semenggoh (Fasa 2) kini dalam perancangan.

Ismail berkata ,bagi program Rumah Mesra Rakyat (RMR), berdasarkan pembentangan Belanjawan 2021, sebanyak 3,000 unit RMR akan dibina di seluruh negara dan ditawarkan kepada pemohon RMR dalam senarai menunggu termasuk 488 pemohon di Sarawak.

Katanya, sebanyak 1,633 permohonan di Sarawak diluluskan dengan 1,438 unit siap, manakala 195 unit masih dalam pelbagai peringkat pembinaan. – BERNAMA

Berita Harian X