X
Selasa, 22 Disember 2020 | 6:57pm
Penolong Pengarang Berita dan Kandungan Berita Harian (BH), Hafizah Iszahanid, dinobatkan sebagai pemenang Sayembara Penulisan Novel Futuristik Malaysia dengan karya berjudul ‘Tabula Rasa’ dan membawa pulang hadiah bernilai RM20,000. - Foto GAPENA
Penolong Pengarang Berita dan Kandungan Berita Harian (BH), Hafizah Iszahanid, dinobatkan sebagai pemenang Sayembara Penulisan Novel Futuristik Malaysia dengan karya berjudul ‘Tabula Rasa’ dan membawa pulang hadiah bernilai RM20,000. - Foto GAPENA

Penolong Pengarang Berita BH menang sayembara novel

KUALA LUMPUR: Karya berjudul 'Tabula Rasa' nukilan Penolong Pengarang Berita dan Kandungan Berita Harian (BH), Hafizah Iszahanid, dinobatkan sebagai pemenang Sayembara Penulisan Novel Futuristik Malaysia dan membawa pulang hadiah bernilai RM20,000.

Karya berjudul 'Hambat Martabat' nukilan Hanita Hassan turut membawa pulang hadiah bernilai RM15,000.

Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dalam kenyataannya berkata, bagi Sayembara Penulisan Cerpen 50 Tahun GAPENA, tiga hadiah utama bernilai RM2,000 setiap satu dimenangi Kathrina Susanna Tati Sitaim dengan cerpen berjudul 'Jejak-Jejak yang Tertinggal', Ummi Hani Abu Hassan, dengan cerpen berjudul 'Cerita Tentang Ubat' dan Zarida Rasdi dengan cerpen berjudul 'Tako-Tsubo'

"12 penerima hadiah sagu hati RM500 ialah Abang Media Abang Said dengan cerpen 'Menulis Cerita Ini Pekerjaan Gila', Dayangku Mastura dengan cerpen 'Esok Kiamat' dan 'Cetera di Jalan Kampung Kuil' nukilan Saifulizan Yahya," kata kenyataan itu.

Selain itu, sebanyak 97 cerpen diterima menyertai sayembara ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad menyempurnakan majlis penyampaian hadiah serta melancarkan antologi cerpen Sayembara Penulisan Cerpen 50 Tahun GAPENA berjudul 'Menulis Cerita Ini Pekerjaan Gila' dan Antologi Puisi 50 Tahun GAPENA berjudul 'Tanjak Bahasa'.

Beliau berkata, keadaan kini sudah berubah dan penulis perlukan persediaan menghadapi masa depan yang lebih mencabar.

"GAPENA perlu menyediakan pemimpin pelapis untuk masa hadapan," katanya.

Berita Harian X