Ahad, 20 Disember 2020 | 5:39pm
Gambar hiasan. - Foto BERNAMA
Gambar hiasan. - Foto BERNAMA

Op Benteng: 83 PATI, seorang tekong ditahan

KUALA LUMPUR: Cubaan 83 pendatang asing tanpa izin (PATI) membolosi sempadan negara, semalam dipatahkan pihak berkuasa melalui Op Benteng.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata 83 PATI itu ditahan bersama-sama seorang tekong dan pihak berkuasa merampas tiga kenderaan darat.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutama di lorong tikus.

"Semalam juga sebanyak 118 sekatan jalan raya (SJR) membabitkan 47 melalui Op Penawar oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Sukarelawan Rakyat; selain 62 SJR Op Benteng dan sembilan Op Benteng oleh Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, Op Benteng bertujuan mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PATI bagi mengekang jenayah rentas sempadan, selain menyekat penularan wabak COVID-19.

Berita Harian X