Sabtu, 19 Disember 2020 | 9:02pm
Zulkifli menyampaikan enjin bot baharu kepada nelayan, Hahnizainizam Hasan, 43, (kiri) pada Program Bulan Dakwah 2020 Is'ad Al-Usrah dan Musaadah YADIM di Kampung Tanjung Dahan, Kuala Linggi hari ini.Pada program itu, Hahnizainizam dan seramai 19 lagi penerima menerima sumbangan barangan keperluan harian bernilai keseluruhan RM15,500. - foto BERNAMA

YADIM salur bantuan RM15,500 kepada 20 nelayan di Melaka

ALOR GAJAH: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyalurkan bantuan berjumlah RM15,500 kepada 20 penerima khususnya golongan nelayan di Kampung Tanjung Dahan, Kuala Linggi dekat Masjid Tanah di sini, bagi meringankan beban mereka yang terkesan ekoran penularan COVID-19.

Sumbangan menerusi Program Bulan Dakwah 2020 Is'ad Al-Usrah dan Musaadah itu disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan turut dihadiri Yang Dipertua YADIM, Nasrudin Hassan.

Bagi seorang daripada penerima, Hasni Zainizam Hassan, 43, tiada yang lebih menggembirakannya selain sumbangan yang diterimanya daripada YADIM untuk kerja pembaikan bumbung rumah dan enjin motor sangkut yang masing-masing membabitkan kos RM14,500 dan RM500.

Bapa empat anak berusia antara tiga hingga 12 tahun itu berkata, dia tidak dapat turun ke laut sejak tiga bulan lalu berikutan enjin motor sangkut 40 kuasa kudanya rosak, selain masalah hakisan pantai yang menyebabkan tebing pantai menjadi terlalu tinggi.

Zulkifli (tiga, kiri) meninjau keadaan rumah yang akan dibaiki pada Program Bulan Dakwah 2020 Is'ad Al-Usrah dan Musaadah YADIM di Kampung Tanjung Dahan, Kuala Linggi hari ini. Pada program itu, seramai 20 penerima mendapat sumbangan barangan keperluan harian dan bantuan membaiki atap serta bahagian dapur serta enjin bot baharu bernilai keseluruhan RM15,500. - foto BERNAMA

"Hakisan itu menyebabkan saya dan nelayan lain tidak dapat menurunkan perahu gentian kaca ke gigi pantai dan masalah itu diburukkan lagi dengan enjin motor sangkut rosak.

"Saya terpaksa mengambil upah bertukang di tapak pembinaan dan kadang kala turun ke laut mengikut nelayan di kampung lain," katanya ketika ditemui selepas program berkenaan.

Terdahulu, Zulkifli ketika berucap pada program itu berkata semua agensi agama di bawah kementeriannya akan bekerjasama dengan negeri dan badan badan kerajaan (NGO) untuk membantu dan turun padang bagi memastikan umat Islam yang terjejas ekoran penularan COVID-19 dapat dibela.

Beliau berkata lebih RM360 juta telah diagihkan kepada ribuan keluarga yang terjejas di seluruh negara berikutan penularan COVID-19 dalam tempoh Mac hingga November lalu.

Berita Harian X