Sabtu, 19 Disember 2020 | 8:25pm
Datuk Masidi Manjun. - Foto fail NSTP
Datuk Masidi Manjun. - Foto fail NSTP

PKPB: Sabah benar penganut Kristian ikuti acara di gereja

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah membenarkan rakyat Sabah yang beragama Kristian mengikuti upacara sembahyang di rumah ibadat pada 24 dan 25 Disember di kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata pihaknya telah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang harus diikuti pada tarikh berkenaan.

"Jumlah kehadiran hanya terhad seramai 50 peratus daripada kapasiti rumah ibadat dengan mengambil kira penjarakan fizikal. Tempoh masa sembahyang tidak melebihi satu jam 30 minit setiap sesi dan diselangi dengan operasi sanitasi selama 45 minit sebelum waktu sembahyang berikutnya.

"Turut diingatkan bagi upacara sambutan perayaan Pra-Natal dan Hari Natal bagi tetamu yang berkunjung ke rumah kediaman adalah dihadkan tidak melebihi dua jam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan media terbabit, Masidi turut berkata semua ahli jawatankuasa pengurusan rumah ibadat, ketua agama dan petugas diwajibkan menjalani saringan kesihatan sebelum memulakan tugas.

Berita Harian X