Sabtu, 19 Disember 2020 | 10:30am
GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

Kaedah Pengurangan Kemudaratan Tembakau alternatif berhenti merokok

Merokok tabiat sukar dihentikan, terutama bagi perokok tegar sebagai rutin selepas makan mahupun ketika bekerja atas alasan mengurangkan tekanan atau mencari 'ilham'.

Tidak dinafikan bukan mudah membuang ketagihan merokok, apatah lagi mahu berhenti dan membuang tabiat itu meskipun tahu kesan buruk bakal ditanggung.

Perokok perlu kekuatan mental dan spiritual, selain sokongan moral orang sekeliling untuk berhenti merokok, sekali gus tidak tergolong individu mendapat penyakit serius akibat tabiat itu.

Pelbagai kempen dan saranan khususnya daripada Kementerian Kesihatan (KKM) menghentikan tabiat itu, namun agak sukar menghentikannya secara drastik.

Bagi individu berhasrat berhenti merokok, ada pelbagai kaedah dan alternatif boleh digunakan untuk mengurangkan risiko terbabit.

Alternatif kaedah THR

Antara alternatif itu adalah menerusi Kaedah Pengurangan Kemudaratan Tembakau (THR), iaitu strategi kesihatan awam bagi mengurangkan risiko kesihatan terhadap individu sering menggunakan produk tembakau.

Kaedah itu banyak diguna pakai seperti di United Kingdom (UK), Norway, Sweden, Jepun dan Korea Selatan yang menjadikan vape sebagai alternatif kepada produk tembakau tradisional.

Naib Pengerusi New Nicotine Alliance (NNA), Louise Ross, mengakui vape kini menjadi pilihan perokok tegar yang mencari produk alternatif sebagai peranti untuk mengurangkan risiko kesihatan berbanding rokok tradisional.

Beliau yang juga perunding klinikal bebas National Centre for Smoking Cessation and Training, menegaskan mengikut konteks kesihatan awam dan global, alternatif kepada rokok ini berpotensi besar menjadi alat untuk menghentikan tabiat merokok, tetapi memerlukan kawalan dan pemantauan.

"Tidak dinafikan ramai mencuba pelbagai cara menghentikan tabiat merokok seperti menggunakan terapi pengganti nikotin (NRT), tetapi mereka memerlukan lebih daripada itu.

"Biarpun begitu, mencari kaedah lain menggantikan tabiat merokok lebih selamat dan tidak memudaratkan kesihatan dalam jangka panjang, mereka beralih boleh kepada produk alternatif seperti vape.

"Di NNA kita menggalakkan individu mendapatkan maklumat mengenai produk alternatif ini terlebih dahulu sebelum beralih daripada rokok tradisional kepada vape," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi kelima Sidang Kemuncak E-Rokok 2020 secara maya bertajuk 'Pengurangan Kemudaratan Tembakau', baru-baru ini.

Selain Louise, sesi itu turut disertai Pakar Perkhidmatan Berhenti Merokok Barnet, Nicky Coote dan Pengurus Perkhidmatan Berhenti Merokok Northamptonshire, Richard Holley sebagai ahli panel.

Terapi gentian nikotin

Louise berkata, penggunaan vape sudah pasti mengundang kebimbangan ramai pihak, terutama keluarga, namun penerangan berhubung perkara itu harus diberikan supaya matlamat untuk berhenti merokok tercapai.

Bagi Nicky pula, kaedah pengurangan kemudaratan tembakau amat membantu perokok tegar yang mahu mengurangkan risiko kesihatan akibat rokok tradisional.

"Individu yang mahu berhenti merokok juga boleh mengambil terapi gantian nikotin. Tetapi kita lihat terapi ini tidak begitu berkesan kepada sesetengah perokok kerana mereka lebih suka dengan pergerakan tangan ke mulut dan menghembuskan asap ketika merokok.

"Kita tidak galakkan amalan rokok, tetapi kita perlu membantu mereka dan mengurangkan kesan buruk rokok kepada mereka dan orang sekeliling," katanya.

Bagaimanapun, katanya, perkara terbaik mengurangkan risiko kesihatan adalah dengan berhenti merokok.

Richard menegaskan pertubuhannya menjadikan penggunaan vape sebagai kaedah penting dalam strategi pengurangan kemudaratan tembakau.

Kebanyakan perunding khidmat berhenti merokok memilih vape bernikotin sebagai alternatif untuk membantu klien mereka. Vape mengandungi cecair berperisa dan vape bernikotin terbukti membantu perokok tegar menghentikan tabiat menghisap rokok dengan menghilangkan rasa ketagihan kepada rokok tradisional itu

"Bermula Februari lalu, kami menawarkan penggunaan vape kepada perokok tegar yang berhasrat berhenti merokok dan hasilnya amat memberangsangkan.

"Ada pelanggan kami tidak lagi menghisap rokok tradisional selepas beralih kepada vape. Ini perkembangan yang amat positif dan akhirnya mereka akan berhenti merokok buat selama-lamanya," katanya.

Walaupun di Malaysia banyak pihak menggesa mengharamkan penjualan vape kerana kandungan cecair yang tidak jelas, tetapi vape bernikotin masih dianggap alternatif untuk menangani ketagihan rokok tradisional terbabit, malah tidak mengandungi bahan seperti tar berbahaya kepada perokok kecuali ia dicampur bahan lain.

Penjualan vape bernikotin ini pula dijadikan sebagai acuan pihak berkuasa di UK bagi menangani masalah ketagihan rokok dan penyalahgunaan dadah yang dimasukkan dalam cecair vape dengan kawalan mengikut peraturan bagi membendung penjualan dan penggunaan dalam kalangan individu di bawah umur.

Namun, di negara kita, persepsi vape masih berbeza terhadap kemudaratannya, walaupun pakar di luar negara melihat vape dapat mengurangkan risiko kesihatan berbanding rokok tradisional

Malah, pada pembentangan Belanjawan 2021 baru-baru ini, Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata kerajaan akan mengenakan kadar 10 peratus duti eksais ke atas semua jenis peranti rokok elektronik dan bukan elektronik, termasuk vape dan 40 sen bagi setiap mililiter ke atas cecair vape, berkuat kuasa 1 Januari 2021.

Walaupun pengumuman itu disambut baik industri dan persatuan berkaitan vape, ia dilihat sebagai langkah awal ke arah pengawalseliaan dan regulasi, namun cukai seharusnya turut dikenakan kepada kandungan cecair vape yang mengandungi nikotin. Oleh itu, peraturan berkaitannya harus dikeluarkan segera.

Baru-baru ini, pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengeluarkan kenyataan bahawa cukai eksais itu hanya dikenakan kepada cecair yang tidak mengandungi nikotin sedangkan majoriti pengusaha dan penjual, menjual produk mengandungi nikotin.

Berita Harian X