Jumaat, 18 Disember 2020 | 11:41pm
Ahli keluarga dan orang-orang kenamaan hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah di kediamannya malam ini. - Foto BERNAMA
Ahli keluarga dan orang-orang kenamaan hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah di kediamannya malam ini. - Foto BERNAMA

Orang kenamaan, kenalan kunjungi kediaman Allahyarhamah Tun Rahah

KUALA LUMPUR: Kediaman Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah, di Jalan Eaton di sini terus dikunjungi orang kenamaan, ahli keluarga dan sahabat handai untuk memberikan penghormatan terakhir kepada isteri Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein itu, sejak lewat petang tadi.

Atur cara ziarah dijalankan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan mereka yang hadir merekodkan suhu dan menulis nama masing-masing di pintu masuk.

Pihak polis pula berada di laluan masuk ke kediaman Allahyarhamah bagi mengawal pergerakan lalu lintas.

Antara tetamu yang kelihatan ialah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad serta Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad.

Turut kelihatan ialah Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes.

Mohamed Azmin ketika ditemui pemberita menyifatkan pemergian Allahyarhamah sebagai kehilangan yang amat besar kepada negara kerana Tun Rahah dan Tun Abdul Razak adalah tokoh penting dalam pembentukan negara.

"Saya masih ingat Allahyarham Tun Abdul Razak ketika meninggal dunia pada 1976, ayah saya membawa saya hadir ke majlis pengebumiannya di Masjid Negara ketika saya Darjah 6 kerana rakyat melihat kepemimpinan Allahyarham sebagai tokoh negarawan terbilang, disegani dan dihormati.

Dan sudah tentu peranan Allahyarhamah dalam membantu suaminya memimpin negara," katanya.

Zulkifli pula mendoakan supaya keluarga Datuk Seri Najib Razak diberikan kekuatan dan ketabahan di atas pemergian bonda tercinta.

"Jasa, sikap keibuannya, dermawannya, solehahnya dan sifat yang terpuji yang wujud dalam Allahyarhamah insya-Allah, Allah ganjarkan dengan kedudukan orang yang soleh," katanya.

Tun Rahah, 87, yang disahkan meninggal dunia petang tadi sebelum ini dimasukkan ke Pusat Perubatan Prince Court, di sini. – BERNAMA

Berita berkaitan:

  • PN zahir ucapan takziah
  • Raja Permaisuri Agong beri penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Tun Rahah
  • Tun Rahah: Perginya Seorang Srikandi
  • Sultan Johor ucap takziah
  • Tun Rahah diberi penghormatan Istiadat Pengebumian Negara
  • Pemergian Tun Rahah: Pemimpin ucap takziah kepada keluarga Najib
  • Agong, Permaisuri zahir ucapan takziah
  • 'Bonda saya sudah tiada' - Najib Razak
  • Berita Harian X