Rabu, 16 Disember 2020 | 9:54pm
MEDAC akan meningkatkan perkongsian strategik dengan lain bagi memastikan agenda keusahawanan dan koperasi negara dicapai sepenuhnya tahun depan - Wan Junaid. FOTO NSTP.
MEDAC akan meningkatkan perkongsian strategik dengan lain bagi memastikan agenda keusahawanan dan koperasi negara dicapai sepenuhnya tahun depan - Wan Junaid. FOTO NSTP.

Bantuan RM317.62 juta disalurkan kepada usahawan tahun ini

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM317.62 juta atau 99.3 peratus daripada jumlah keseluruhan Belanjawan 2020 diperuntukkan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) disalurkan untuk membantu usahawan di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata pencapaian itu boleh disifatkan membanggakan kerana ia mencerminkan komitmen MEDAC serta agensinya dalam membantu golongan sasar.

"Walaupun saya amat berpuas hati dengan pencapaian tahun ini, saya menyeru supaya MEDAC serta agensi jangan terlalu selesa.

"Kita perlu sentiasa membuat penambahbaikan terhadap proses permohonan supaya usahawan lebih mudah mendapatkan dana atau pembiayaan yang ditawarkan, " katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam Belanjawan 2020, MEDAC menerima peruntukan sebanyak RM319.76 juta manakala bagi tahun depan, sebanyak RM548.7 juta diperuntuk kepada kementerian itu merangkumi RM192.4 juta bagi peruntukan mengurus dan RM356.3 juta bagi program pembangunan.

Wan Junaidi berkata, MEDAC juga akan meningkatkan perkongsian strategik dengan kementerian lain bagi memastikan agenda keusahawanan dan koperasi negara mampu dicapai sepenuhnya pada tahun depan.

Katanya, perkongsian strategik itu selari dengan yang digariskan dalam Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).

"Kita akan menggunakan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Kementerian (MTPK) untuk memantau dan memastikan pelaksanaan program pembangunan dibiayai di bawah peruntukan pembangunan Persekutuan berjalan lancar dan berkesan.

"Langkah ini adalah bagi memastikan agenda pembangunan negara terutamanya yang terkandung dalam DKN2030 dapat dilaksanakan dengan jayanya," katanya.

Berita Harian X