Selasa, 15 Disember 2020 | 11:42pm
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin. - NSTP/ihsan Istana Selangor
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin. - NSTP/ihsan Istana Selangor

Sultan, Tengku Permaisuri Selangor ucap takziah

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga tokoh akademik, Allahyarham Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid.

Istana Selangor dalam satu hantaran di laman sosial Facebook Selangor Royal Office hari ini menyatakan selain mengenali Allahyarham sebagai tokoh pendidikan dan pembangunan ekonomi Melayu serta umat Islam, baginda turut kagum dengan pemikiran, aspirasi serta ideanya yang merentas zaman.

Tambah kenyataan itu, baginda secara peribadi juga mengenali dan pernah bertemu Allahyarham yang turut mempunyai kediaman berhampiran Istana Pantai Bahagia di Morib, Banting serta anak Allahyarham iaitu bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

"Baginda sentiasa mengikuti rapat pandangan serta buah fikiran Allahyarham semasa hayatnya dalam pelbagai isu yang dekat dengan rakyat jelata dan seharusnya diteladani.

"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat-Nya dan ditempatkan bersama para solihin," menurut hantaran itu.

Pada masa sama, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari juga mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Ungku Aziz dan menyifatkan beliau sebagai tokoh banyak berjasa kepada dunia pendidikan tanah air.

"Allahyarham juga antara individu yang terbabit dengan penubuhan Tabung Haji (TH) dalam memudahkan urusan rakyat Malaysia menunaikan ibadah haji di Baitullah.

"Negara kehilangan seorang tokoh yang banyak menabur bakti. Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di syurga penuh nikmat," katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebooknya.

Ungku Abdul Aziz, tokoh akademik berusia 98 tahun, meninggal dunia kira-kira 4 petang tadi. - BERNAMA

Berita Harian X