Selasa, 15 Disember 2020 | 5:09pm
JKM jaga bayi ditikam bapa
JKM jaga bayi ditikam bapa

Bayi ditikam bapa dijaga JKM

KUALA LUMPUR: Bayi perempuan berusia 18 bulan yang cedera parah ditikam bapanya dalam kejadian di sebuah rumah pangsa di Puchong Permai, Subang Jaya pada Sabtu lalu, diserahkan dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman, berkata bayi yang masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) wad Pediatrik Hospital Kuala Lumpur, dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati kejadian berlaku akibat tekanan dialami suspek kerana berpisah dengan isterinya yang juga ibu bayi pada tahun lalu selain pengaruh dadah.

"Bekas isteri suspek dikenal pasti dan dimaklumkan mengenai kejadian itu. Walaupun sudah bercerai tetapi wanita berkenaan (bekas isteri suspek) dilaporkan masih berhubung dan tinggal berdekatan rumah nenek mangsa," katanya ketika dihubungi di sini.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, lelaki terbabit dipercayai menikam perut bayi perempuannya menggunakan sebilah pisau pemotong roti.

Suspek berusia 27 tahun yang ditangkap tidak lama selepas kejadian, direman lima hari hingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah. - BERNAMA

Berita Harian X