Isnin, 14 Disember 2020 | 9:06pm
Syahrunizam (kanan) mewakili Edgenta yang akan menaja dua zirafah di Zoo Negara.
Syahrunizam (kanan) mewakili Edgenta yang akan menaja dua zirafah di Zoo Negara.

UEM Edgenta taja sepasang zirafah

KUALA LUMPUR: UEM Edgenta Berhad (UEM Edgenta) bekerjasama dengan Zoo Negara bagi menaja sepasang zirafah sebagai haiwan angkat menerusi program 'Adopt an Animal' anjuran Zoo Negara.

Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin, berkata inisiatif itu bertujuan menyalurkan menjaga kebajikan tahunan zirafah terbabit, merangkumi penyediaan bekalan makanan dan penjagaan veterinar.

"Komitmen kami terhadap program ini selaras dengan matlamat syarikat untuk menyokong pihak berkepentingan utamanya seperti Zoo Negara yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19, melalui aktiviti pembangunan komuniti yang positif dan berimpak tinggi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, inisiatif itu dapat memperluaskan komitmen pihaknya dalam usaha ke arah kelestarian serta mempromosikan amalan persekitaran, sosial dan tadbir urus yang baik bersama rakan strategik seperti Zoo Negara.

"Kami berharap lebih banyak organisasi dan individu tampil membantu zoo bagi memastikan kesejahteraan dan kebajikan haiwan ini," katanya.

Timbalan Presiden Persatuan Zoologi Malaysia, Rosly Ahmat Lana, berkata pihaknya merakamkan penghargaan kepada UEM Edgenta atas sokongan ikhlas dan padu demi kesejahteraan zirafah serta membantu Zoo Negara menerusi program berimpak tinggi ini.

Berita Harian X