Isnin, 14 Disember 2020 | 1:46pm

Rasuah: Pegawai Imigresen Gred KP19 mengaku salah

JOHOR BAHRU: Seorang pegawai Imigresen dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas kesalahan menerima rasuah RM1,250 daripada ejen yang menguruskan pekerja warga asing, dua tahun lalu.

Hakim Kamarudin Kamsun membuat keputusan berkenaan terhadap tertuduh, Azhar Ahmad M Salbi, 27, yang juga Pegawai Imigresen Gred KP19, selepas dia mengaku bersalah selepas pertuduhan pilihan dibacakan.

Azhar yang bertugas di Bangunan Sultan Iskandar, di sini, didakwa diberikan wang suapan berjumlah RM1,250 daripada dua individu yang juga ejen yang menguruskan pekerja warga asing, sebagai balasan bagi mendapatkan perakuan cap keluar masuk pada pasport warga asing, tanpa perlu keluar dari Malaysia.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank tempatan di Jalan Genuang, Segamat, antara 20 Februari dan 9 April 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 25(1) dan 25(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntuk hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

Pegawai Imigresen, Azhar Ahmad M Salbi dipenjara dan didenda atas kesalahan rasuah di Johor Bahru, hari ini. - Foto NSTP/ZAIN AHMED
Pegawai Imigresen, Azhar Ahmad M Salbi dipenjara dan didenda atas kesalahan rasuah di Johor Bahru, hari ini. - Foto NSTP/ZAIN AHMED
Berita Harian X