Ahad, 13 Disember 2020 | 6:56pm
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA

2 PKPD di Sabah tamat hari ini

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Numbak dan Penempatan Telipok dekat Kota Kinabalu, Sabah, hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan diambil selepas mendapati kes aktif COVID-19 di kawasan berkenaan terkawal selain menunjukkan penurunan.

"Kerajaan sebelum ini melaksanakan PKPD di Kampung Numbak dan Penempatan Telipok, Kota Kinabalu, Sabah bermula 16 November 2020 yang kemudiannya dilanjutkan serta dijadualkan berakhir hari ini (13 Disember).

"Sehingga 10 Disember lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan 6,776 ujian saringan di kedua-dua lokaliti ini dan sebanyak 175 kes kumulatif COVID direkodkan di Kampung Numbak serta 224 kes di Penempatan Telipok.

"Sehingga kini KKM mengesahkan jumlah kes aktif di kedua-dua lokaliti ini menunjukkan trend penurunan dan terkawal.

"Atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Kg. Numbak dan Penempatan Telipok, Kota Kinabalu, Sabah pada hari ini seperti mana dijadualkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berita Harian X