Sabtu, 12 Disember 2020 | 8:04pm

ATM, PDRM, AKSEM ronda sempadan bersama mulai bulan depan

BUKIT KAYU HITAM: Kawalan rondaan di sempadan Malaysia-Thailand di utara Semenanjung, akan dilaksana secara bersama membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) mulai tahun hadapan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerjasama bersepadu dalam Ops Benteng itu, bagi memastikan kawalan sempadan lebih ketat dan mengurangkan aktiviti penyeludupan serta pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Sebelum ini pada Ops Benteng, pihak ATM tiada kuasa untuk menangkap, jadi apabila ada pencerobohan polis akan dipanggil untuk membantu dari segi tangkapan.

"Ini kerana kuasa tentera tertakluk kepada peperangan apabila membabitkan musuh, tetapi PATI dan penyeludup tidak dianggap musuh mengikut Akta Tentera.

"Maka ada kekangan untuk mereka mengambil tindakan dan menangkap pesalah, jadi selepas ini apabila secara bersama, tangkapan membabitkan PATI dan penyeludup boleh dilakukan serta-merta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat lawatan kerja di Kem Penempatan Tentera Darat dan kawasan operasi sempadan Malaysia-Thailand di sini, hari ini.

Yang turut hadir Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain.

Mengulas lanjut, Ismail berkata bagi memperkasakan lagi kawalan di sempadan, dua pos baharu dikenali sebagai pos sempadan terkoordinasi akan dibina di Padang Terap.

Katanya, pos berkenaan akan dikawal ATM dengan kerjasama tentera Thailand.

"Kita sudah mendapat kerjasama penuh dari negara jiran, di pos itulah kita akan bertukar-tukar maklumat dan informasi untuk membanteras jenayah sempadan.

"Selain itu kita akan tingkatkan kawalan dengan penambahan aset senjata, peralatan seperti 36 motosikal 'scrambler' berkuasa tinggi, lapan kenderaan lasak pelbagai bentuk muka bumi (ATV).

"Kita akan mula terima semua peralatan ini mulai Januari. Malah ketika ini pun, kita sudah memiliki enam dron yang sudah mula digunakan," katanya.

Mengulas mengenai perolehan aset keselamatan, beliau memaklumkan kerajaan akan membuka tender untuk tambahan baju kalis peluru, topi keledar balistik dan teropong penglihatan malam dalam tempoh terdekat ini.

Katanya, pihaknya juga akan mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menimbang penambahan kamera litar tertutup (CCTV) dan penggunaan radar di sempadan pada masa depan.

MENTERI Kanan (Keselatamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) ketika melakukan lawatan ke Kem Penempatan Tentera Darat sempadan Malaysia-Thailand berhampiran dengan Batalion Ke-5 Rejimen Sempadan, Kem Bukit Kayu Hitam. NSTP/Amran Hamid
MENTERI Kanan (Keselatamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) ketika melakukan lawatan ke Kem Penempatan Tentera Darat sempadan Malaysia-Thailand berhampiran dengan Batalion Ke-5 Rejimen Sempadan, Kem Bukit Kayu Hitam. NSTP/Amran Hamid
Berita Harian X