Sabtu, 12 Disember 2020 | 5:57pm
Orang ramai menghabiskan cuti hujung minggu di pantai Port Dickson susulan kebenaran merentas negeri sejak Isnin lalu. - NSTP/AZIAH AZMEE
Orang ramai menghabiskan cuti hujung minggu di pantai Port Dickson susulan kebenaran merentas negeri sejak Isnin lalu. - NSTP/AZIAH AZMEE

Port Dickson kembali jadi tumpuan pengunjung

PORT DICKSON: Pantai Teluk Kemang yang sunyi sejak pandemik COVID-19 pertengahan Mac lalu, kini kembali sibuk dengan pengunjung selepas kerajaan memberi kebenaran merentas negeri bermula Isnin lalu.

Tinjauan BH mendapati, suasana pantai peranginan itu keadaan kembali pulih walaupun tidak sesibuk dahulu.

Peniaga pisang goreng, Rosnah Alias, 36, mula menerima pelanggan dari luar yang bercuti ke Port Dickson.

"Memang ramai peniaga terkesan akibat larangan merentas negeri dan pendapatan kami teruk terjejas sebelum COVID-19.

"Saya harap tahun hadapan keadaan kembali pulih dan sektor pelancongan dapat beroperasi seperti biasa kerana banyak pihak terkesan, termasuk peniaga kecil," kata ibu kepada lima anak berusia dari tiga tahun hingga 16 tahun itu.

Peniaga kedai makan, Mohamad Ali, 49, berkata, kedainya baru sebulan dibuka sejak ditutup April lalu kerana pekerja asing pulang ke negara asal.

"Saya terpaksa menukar konsep perniagaan kerana tukang masak dari negara jiran tidak dapat kembali ke sini.

"Menu makanan kini diubah kepada konsep Melayu dan dengan kembalinya pelancong, nampaknya ada perubahan manakala pengunjung semakin ramai," katanya.

Seorang pengunjung dari Kuala Lumpur, Mariani Ismail, 33, memilih Port Dickson untuk membawa dua anaknya berusia empat dan tujuh tahun bercuti selepas sekian lama tidak ke mana-mana.

"Alhamdulillah, dapat mereka mandi laut. Ini cara kami menyokong industri pelancongan domestik tanpa mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan COVID-19," katanya.

Berita Harian X