Khamis, 10 Disember 2020 | 5:00pm
Ismail Sabri Yaakob.-Foto/BERNAMA
Ismail Sabri Yaakob.-Foto/BERNAMA

217 individu ditahan langgar arahan PKP

PUTRAJAYA: Polis menahan seramai 217 individu melakukan pelbagai kesalahan ingkar

arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), polis semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu seramai 210 individu dikenakan kompaun manakala tujuh lagi ditahan reman.

"Antara kesalahan ingkar arahan PKP yang dilakukan termasuk tidak memakai

pelitup muka, membabitkan 99 individu, gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (60), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (31), aktiviti pusat hiburan (17) dan lain-lain kesalahan (10).

"Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat 51,908 pemeriksaan, semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Sebanyak 2,991 Pasukan Pematuhan membabitkan seramai 13,725 anggota membuat pemantauan di 4,040 pasar raya, 5,213 restoran serta 1,638 penjaja, 1,374 kilang, 3,586 bank dan 2,206 pejabat kerajaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, turut dipantau, sebanyak 985 terminal pengangkutan darat, 219 terminal pengangkutan air serta 82 terminal pengangkutan udara.

Selain itu, Operasi Benteng yang dijalankan semalam berjaya menahan 67 pendatang asing tanpa izin (PATI), dua tekong serta merampas empat kenderaan darat dan lapan bot atau kapal.

Beliau berkata, sebanyak 121 Sekatan Jalan Raya (SJR) juga dilaksanakan semalam membabitkan Op PENAWAR yang dianggotai Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang menjalankan sebanyak 51 SJR, sebanyak 61 SJR yang dijalankan melalui Op Benteng PDRM dan Op Benteng AKSEM menjalankan sebanyak sembilan SJR.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong tikus," katanya.

Berita Harian X