Khamis, 10 Disember 2020 | 10:53am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

15 pengauditan prestasi bernilai RM15.71 bilion babit 12 kementerian - LKAN

KUALA LUMPUR: Sebanyak 15 pengauditan prestasi bernilai RM15.71 bilion dilaksanakan membabitkan program, aktiviti dan projek di 12 kementerian, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019 Siri 1.

Menurut kenyataan Ketua Audit Negara, LKAN Tahun 2019 Siri 1 dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini secara digital menggunakan kaedah card drive dan Kod QR.

Laporan itu menyatakan daripada jumlah berkenaan, tujuh daripadanya adalah kategori projek, empat kategori program dan satu kategori perolehan, penyenggaraan, sistem atau teknologi maklumat dan komunikasi serta dana.

"Secara umumnya, program, aktiviti dan projek Kerajaan Persekutuan dilaksanakan mengikut tujuan yang ditetapkan. Bagaimanapun, masih terdapat kelemahan seperti sasaran output dan hasil yang ditetapkan tidak dapat dicapai atau tidak boleh dinilai," menurut laporan itu.

Bagi membolehkan tindakan penambahbaikan diambil ketua jabatan berkenaan, Jabatan Audit Negara mengemukakan 62 syor terhadap aktiviti kementerian, jabatan dan badan berkanun Persekutuan.

Menurut LKAN, 16 pengauditan pematuhan dilaksanakan terhadap 16 agensi Persekutuan merangkumi sembilan program dan projek, empat (perolehan), dua (kontrak) dan satu (pinjaman).

"Isu ketidakpatuhan yang dibangkitkan bernilai RM336.12 juta membabitkan amaun yang perlu dikutip balik oleh lima agensi Persekutuan berjumlah RM70.19 juta, satu agensi Persekutuan perlu membuat bayaran balik RM21.78 juta dan 13 agensi Persekutuan berlaku ketirisan atau kerugian bernilai RM244.15 juta," menurut LKAN dan menyatakan 48 syor audit dikemukakan kepada agensi Persekutuan untuk dipertimbangkan.

Menurut LKAN mengenai Penyata Kewangan dan Pengauditan Pematuhan Agensi Persekutuan Tahun 2019, Jabatan Audit Negara perlu menjalankan pengauditan penyata kewangan terhadap 148 agensi Persekutuan bagi tahun Kewangan 2019.

Namun setakat 30 September 2020, daripada 148 agensi berkenaan, 69 penyata kewangan tahun 2019 telah siap diaudit sementara 77 penyata kewangan masih dalam proses pengauditan dan dua penyata lagi belum diterima.

Mengenai program, aktiviti dan projek kementerian, jabatan serta agensi peringkat negeri pula, 16 pengauditan prestasi dilakukan ke atas program, aktiviti dan projek membabitkan tiga kementerian di Sabah dan Sarawak termasuk 22 jabatan dan agensi kerajaan negeri.

Menurut laporan itu, 123 syor dikemukakan terhadap aktiviti kementerian, jabatan dan agensi negeri serta syarikat kerajaan negeri bagi membolehkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil.

"Semua pegawai serta ketua jabatan yang berkenaan telah dimaklumkan mengenai perkara yang dilaporkan dalam LKAN untuk tujuan pengesahan. Mesyuarat Penutupan juga diadakan bagi membincangkan penemuan audit dan mendapatkan penjelasan serta maklum balas," menurut laporan itu.

Sebelum ini LKAN telah membentangkan tiga siri laporan audit sepanjang tahun ini iaitu pada 14 Julai, 24 Ogos dan 5 November.

LKAN Tahun 2019 Siri 1 mengenai aktiviti kementerian, jabatan kerajaan Persekutuan dan badan Persekutuan serta LKAN mengenai Penyata Kewangan dan Pengauditan Pematuhan Agensi Persekutuan 2019 akan dimuat naik di laman sesawang Jabatan Audit Negara http://www.audit.gov.my selepas pembentangan di Dewan Rakyat.

Bagi peringkat negeri yang melibatkan 13 negeri pula, laporan itu akan dimuat naik di laman sesawang yang sama selepas pembentangannya di Dewan Undangan Negeri masing-masing.

– BERNAMA

Berita Harian X