Rabu, 9 Disember 2020 | 2:54pm
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali (kanan) bersama Pegawai Kewangan Negeri Datuk Zaidi Johari menunjukkan Buku Belanjawan 2021 pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14 di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini. - Foto BERNAMA

Melaka bentang belanjawan lebihan 17 tahun berturut-turut

AYER KEROH: Kerajaan Melaka hari ini membentangkan Belanjawan 2021 berjumlah RM445.86 juta dengan hasil negeri dianggarkan RM445.96 juta, sekali gus mencatat lebihan 17 tahun berturut-turut sejak 2005.

Belanjawan bertema Melaka Rumahku: Merancak Ekonomi, Membahagia Rakyat, Menggamit Dunia dibentangkan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali itu menyaksikan peningkatan peruntukan kira-kira 14.32 peratus, berbanding belanjawan tahun lalu sebanyak RM390 juta.

Sulaiman berkata, belanjawan itu merangkumi perbelanjaan bekalan berjumlah RM436.38 juta, manakala perbelanjaan tanggungan sebanyak RM9.48 juta.

Beliau berkata, daripada perbelanjaan bekalan, sebanyak RM177.54 juta diperuntukkan di bawah perkhidmatan dan bekalan, diikuti pemberian dan kenaan bayaran tetap (RM142.40 juta); emolumen (RM111.87 juta); aset (RM3.97 juta) dan perbelanjaan lain (RM0.59 juta).

"Di bawah anggaran perbelanjaan pembangunan pula, sebanyak RM75 juta akan diperuntukkan untuk tahun depan dengan RM53.74 juta daripadanya adalah sumber hasil negeri.

"Sebanyak RM21.26 juta lagi adalah pemberian Geran Tahap oleh kerajaan Persekutuan," katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2021) 2020 pada Persidangan Ketiga (Bajet), Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di Seri Negeri di sini, hari ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali (kanan) semasa membentang Belanjawan 2021 pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14 di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini. - Foto BERNAMA

Pembentangan Belanjawan 2021 itu kali pertama dibentangkan Sulaiman selepas dilantik sebagai Ketua Menteri, Mac lalu.

Beliau berkata, belanjawan negeri itu ialah bajet pemulihan ekonomi pasca-COVID-19 yang mengutamakan kebajikan rakyat dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi melalui inisiatif yang dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Katanya, kerajaan negeri akan terus berusaha untuk memulihkan prestasi kewangan, selain memberi fokus kepada langkah untuk mengawal defisit semasa, mengurangkan hutang dan meningkatkan rizab kerajaan negeri.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali (kanan) semasa membentang Belanjawan 2021 pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14 di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini. - Foto BERNAMA
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali (kanan) semasa membentang Belanjawan 2021 pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14 di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini. - Foto BERNAMA

Ia juga, katanya, untuk menyelaraskan semula perbelanjaan yang sepatutnya ditanggung kerajaan Persekutuan dan mengaktifkan pembabitan jalinan kerjasama antara kerajaan dan swasta.

"Walaupun belum setahun memimpin, kerajaan Melaka berjaya mengurangkan hutang kepada kerajaan Persekutuan daripada RM821.63 juta pada tahun lalu kepada RM643.24 juta tahun ini, iaitu hampir 21.71 peratus dengan kejayaan pengurangan hutang berjumlah RM178.39 juta," katanya.

Berita Harian X