Selasa, 8 Disember 2020 | 5:12pm
Gambar hiasan. - Foto BERNAMA
Gambar hiasan. - Foto BERNAMA

182 ditahan ingkar PKP

KUALA LUMPUR: Polis menahan 182 individu semalam, kerana kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu, seramai 181 orang dikompaun, manakala baki seorang direman.

Beliau berkata, antara kesalahan ingkar arahan PKP ialah gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal sebanyak 66 kesalahan; tidak memakai pelitup muka (60) dan gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (46).

"Task Force Operasi Pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat 49,592 pemeriksaan semalam, bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Sebanyak 2,849 pasukan pematuhan membabitkan 12,766 anggota membuat pemantauan terhadap 5,179 pasar raya; 4,667 restoran; 1,285 penjaja; 1,249 kilang; 3,539 bank dan 620 pejabat kerajaan.

"Turut dipantau sebanyak 1,064 terminal pengangkutan darat; 266 terminal pengangkutan air dan 154 terminal pengangkutan udara," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengenai Op Benteng semalam, Ismail Sabri berkata, seramai 31 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditangkap, manakala tiga kenderaan dan satu bot dirampas.

"Sebanyak 116 sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan semalam, membabitkan Op Penawar dijalankan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dengan 50 SJR.

"Op Benteng PDRM dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) masing-masing dengan 57 dan sembilan SJR.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutama di lorong tikus," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melaksanakan 48 operasi sanitasi di 12 zon merah; lima zon jingga; enam zon kuning dan empat zon hijau membabitkan 12 negeri, semalam.

"KPKT jalankan 14 operasi sanitasi di Johor; Sabah (10); Melaka (tujuh); Kedah (tiga); Sarawak (tiga); Pahang (dua); Selangor (dua); Pulau Pinang (dua); Negeri Sembilan (satu); Perak (satu); Perlis (satu); Terengganu (satu) dan Wilayah Persekutuan (satu operasi).

"Sejak 30 Mac lalu, KPKT melakukan 12,389 operasi sanitasi merangkumi 137 zon.

"Sebanyak 14,374 premis disanitasi membabitkan 2,892 pusat perniagaan; 1,674 kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR); 2,848 tempat awam; 357 pasar raya dan 6,603 bangunan kerajaan," katanya.

Berita Harian X