X
Selasa, 8 Disember 2020 | 5:10pm
PUTRAJAYA 24 SEPTEMBER 2020. Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. KHIS/LUQMAN HAKIM ZUBIR
PUTRAJAYA 24 SEPTEMBER 2020. Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. KHIS/LUQMAN HAKIM ZUBIR

RUU Perbekalan 2021 Kementerian Alam Sekitar dan Air lepasi 'ujian' undi

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang meliputi pelbagai isu semasa diluluskan secara 'laluan mudah'.

Keputusan undian mengikut suara majoriti itu diumumkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, sekali gus menyaksikan KASA menjadi kementerian ke-17 berjaya mengharungi 'ujian' RUU Perbekalan 2021.

Justeru, katanya, wang berjumlah RM551,794,400 untuk kepala B33, anggaran perbelanjaan mengurus KASA 2021 jadi sebahagian daripada jadual.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, ketika penggulungan berkata Unit Jenayah Alam Sekitar (UJAS) beroperasi secara pentadbiran, sejak 1 Oktober lalu dan turut menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi lain.

Setakat ini, katanya, UJAS sudah beroperasi lima kali dan memberikan kesan yang amat positif ke arah usaha memerangi perbuatan pencemaran sungai di seluruh negara.

"Mengenai pencemaran air di Selangor berikutan faktor bau, 1 TON (ukuran kadar bau) kita sudah tutup loji kerana jangan kata minum, masak pun masih bau air berkenaan.

"Oleh itu, penyelesaian yang kita kemukakan ialah untuk kita mewujudkan sumber alternatif apabila sungai utama dicemar oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) ialah sumber alternatif yang dapat digunakan loji untuk menyalurkan bekalan kepada pengguna, sekali gus memberi jaminan tiada gangguan bekalan air tatkala insiden pencemaran cuba diselesaikan.

"Sehingga kini, TAPS sudah kita mulakan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11), untuk makluman, 11 TAPS dibina yang diperuntukkan RM1.4 bilion.

Charles Santiago (PH-Klang) yang bangkit mencelah bagaimanapun meminta kerajaan untuk memikirkan kaedah terbaik bagi menangani insiden pencemaran sebelum ia berlaku.

Beliau berkata, pendekatan itu perlu kerana pelbagai mekanisme yang dikemukakan kementerian ketika ini lebih bersifat penyelesaian pasca pencemaran.

"Kalau kita dapat tangani pencemaran sebelum ia berlaku, bukankah ia lebih baik?" katanya.

Tuan Ibrahim juga menjelaskan unit operasi dan pemantauan giat menjalankan pengawasan di kawasan kilang yang dibina berdekatan sepanjang jajaran sungai.

Bagaimanapun, katanya, kaedah itu tidak dapat memberikan jaminan 100 peratus kepada penduduk dan pengguna bahawa insiden pencemaran air berupaya ditangani sepenuhnya.

"Sebab itu kita perlu ada penyelesaian alternatif, apabila berlaku pencemaran, bagaimana kita nak pastikan supaya bekalan air kepada pengguna tidak terputus.

"Berhubung cadangan untuk naikkan tarif air, kementerian ambil berat isu ini, tetapi dengan keadaan rakyat yang susah sekarang, langkah ini perlu ambil masa sikit.

"Ini penting supaya kenaikan tarif air seperti dicadangkan tidak menambah bebanan rakyat," katanya.

Berita Harian X