X
Selasa, 8 Disember 2020 | 9:11am
Pengendali pelancongan perlu patuhi SOP baharu di Sabah sepanjang PKPB. FOTO NSTP
Pengendali pelancongan perlu patuhi SOP baharu di Sabah sepanjang PKPB. FOTO NSTP

SOP baharu untuk pengendali pelancongan di Sabah - Masidi

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menetapkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) baharu yang perlu dipatuhi pengendali pelancongan di Sabah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Masidi Manjun, berkata SOP terbabit tertakluk untuk aktiviti pelancongan umum, premis penginapan perhotelan dan aktiviti pelancongan berasaskan komuniti (CoBT).

Katanya, bagi aktiviti pelancongan umum, syarikat pengendali pelancongan diwajibkan mematuhi masa beroperasi ditetapkan bermula jam 8 pagi sehingga 5 petang.

Beliau berkata, kehadiran pelawat bagi aktiviti lawatan malam pula bermula jam 4.30 petang sehingga jam 10.30 malam dan kapasiti pelancong dalam satu kumpulan adalah 50 peratus saja mengikut kesesuaian tempat.

"Syarikat dilarang menjalankan perkhidmatan pelancongan bagi aktiviti atau destinasi dilarang kerajaan sehingga dibenarkan dan penganjuran atau ekspo pelancongan juga tidak dibenarkan," katanya, malam tadi.

Beliau yang juga Menteri Kewangan II Sabah berkata, masa beroperasi yang dibenarkan bagi hotel pula bermula jam 7.30 pagi sehingga 10 malam manakala waktu kehadiran pelawat dibenarkan bermula jam 7 pagi sehingga 10 malam.

"Bagaimanapun, kehadiran pelawat lawatan bermalam adalah 24 jam dan kapasiti yang dibenarkan adalah 50 peratus tertakluk kepada keluasan kawasan hotel dan penjarakan fizikal," katanya.

Masidi turut menambah penggunaan kemudahan hotel seperti restoran atau kafe, surau, gimnasium, kolam renang, 'lounge', dewan, bilik mesyuarat dan bilik seminar serta latihan dibenarkan tertakluk dengan SOP sedia ada.

Bagi aktiviti CoBT, kerajaan negeri katanya membenarkan operasi bermula jam 7.30 pagi sehingga 5 petang manakala waktu kehadiran pelawat lawatan harian ditetapkan bermula jam 8 pagi sehingga 5 petang.

"Kapasiti yang dibenarkan adalah sebanyak 50 peratus tertakluk kepada keluasan kawasan pelancongan berasaskan komuniti itu dan juga penjarakan fizikal," katanya.

Masidi berkata, peraturan melawat dan berada di kawasan CoBT merangkumi semua aktiviti kecuali beberapa kawasan larangan seperti hutan simpan dan tadahan air.

Berita Harian X