Selasa, 8 Disember 2020 | 8:05am
LRA Rantau Panjang dan LRA Sungai Selangor kembali beroperasi. FOTO NSTP
LRA Rantau Panjang dan LRA Sungai Selangor kembali beroperasi. FOTO NSTP

LRA Rantau Panjang kembali beroperasi

KUALA SELANGOR: Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang yang dihenti tugas semalam berikutan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor, kembali beroperasi pada 3.30 pagi, hari ini.

LRA Sungai Selangor (SSP) Fasa 1, 2 dan 3 juga kembali beroperasi pada 5 pagi ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan, semua loji kembali beroperasi selepas bacaan pada tahap 0 TON sebanyak tiga kali berturut-turut direkodkan di LRA terbabit.

"Maklumat bekalan air boleh didapati di semua saluran komunikasi Air Selangor dari semasa ke semasa," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu, empat LRA terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.

LRA Rantau Panjang dihenti tugas pada 11.30 malam tadi diikuti LRA SSP Fasa 1, 2 dan 3 pada jam 1 pagi tadi.

Henti tugas terbabit menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di 1,274 kawasan di wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Berita Harian X