Isnin, 7 Disember 2020 | 2:03pm
SYAFIQ lebih tenang, isteri dan anak stabil.
SYAFIQ lebih tenang, isteri dan anak stabil.

Syafiq lebih tenang, isteri dan anak stabil

BUTTERWORTH: Isteri kepada pemain bola sepak kebangsaan, Muhammad Syafiq Ahmad, selamat menjalani pembedahan di perut semalam dan dilaporkan stabil.

Perkhabaran positif itu dimaklumkan bapa Muhammad Syafiq, Ahmad Ibrahim, 56, ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ahmad berkata, Muhammad Syafiq, 25, berhasrat memindahkan isterinya, Nur Amalina Norain, 25, dan anak sulung mereka, Aaira Nur Saffiyya, 2, ke sebuah hospital swasta untuk rawatan lanjut.

"Bagaimanapun, doktor yang melakukan pemeriksaan mendapati ada sedikit permasalahan dalam perut menantu dan memerlukan pembedahan segera.

"Syukur semuanya berjalan lancar dan kini menunggu keputusan pakar lain berhubung keadaan kesihatan isteri Syafiq," katanya.

Nur Amalina dipindahkan dari Hospital Sungai Bakap (HSB) ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) selepas mengadu kesakitan di bahagian perut dan belakang badannya.

Pemeriksaan doktor mendapati Nur Amalina patah tulang rusuk, pendarahan dalam perut dan otak serta patah tulang paha kiri.

Anak perempuan pasangan itu turut dipercayai mengalami pendarahan dalam otak.

Nur Amalina melihat jenazah anaknya yang berusia 22 hari yang maut akibat kemalangan jalan raya semalam. - Foto BERNAMA
Nur Amalina melihat jenazah anaknya yang berusia 22 hari yang maut akibat kemalangan jalan raya semalam. - Foto BERNAMA

Mengulas keadaan penyerang Johor Johor Darul Ta'zim (JDT) itu, Ahmad berkata, anaknya jauh lebih tenang berbanding semalam dan sudah mampu berbual seperti biasa.

"Semalam Syafiq murung dan keletihan tetapi hari ini lebih bersemangat. Dia ada menghantar mesej kepada saya pagi tadi dan memberitahu sudah bergerak dari Pendang, Kedah untuk melawat isteri dan anaknya.

"Syafiq mengajak saya bersama tetapi ketika ini hanya Syafiq dibenarkan masuk dan daripada apa yang dimaklumkan, menantu dan cucu saya dalam keadaan baik.

"Saya harap masyarakat dapat terus mendoakan keadaan anak saya dan keluarganya kembali pulih serta kuat menjalani kehidupan seterusnya," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi semalam, Muhammad Syafiq yang memandu Toyata Vellfire dari Johor Bahru dalam perjalanan membawa isterinya, Nur Amalina, yang berpantang ke kampung mentuanya di Pendang, Kedah.

Turut menaiki kenderaan terbabit ialah ibu mentuanya, Zainab Wahab, 45, dan dua anak pemain bola sepak itu termasuk Muhammad Aisy Saqeef berusia 22 hari serta pembantu rumah warga Indonesia, Titik Sukamti, 42.

Nahas terbabit mengorbankan Zainab, Muhammad Aisy Saqeef dan Titik.

Berita berkaitan:

  • Muhammad Syafiq dipercayai terlelap ketika memandu
  • Jenazah ibu mentua, anak Muhammad Syafiq dikebumikan
  • Moga Syafiq tabah hadapi ujian
  • Jenazah bayi, ibu mentua Syafiq akan dikebumikan satu liang lahat
  • Jenazah bayi, ibu mentua Syafiq dibawa ke Pendang
  • Bendera kelab JDT di pasang separuh tiang
  • Tak sempat jumpa cucu lelaki sulung
  • Tunku Mahkota Johor ucap takziah kepada pemain JDT
  • FAM, JDT ucap takziah buat Syafiq
  • Penyerang JDT terbabit kemalangan, bayi maut
  • Berita Harian X