Jumaat, 4 Disember 2020 | 9:39pm

COVID-19: 8 kluster baharu dikesan

PUTRAJAYA: Lapan lagi kluster baharu COVID-19 dikesan di negara ini membabitkan Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Perak, Kelantan dan Pahang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kluster pertama iaitu Kluster Tapak Bina Muda membabitkan Titiwangsa, Lembah Pantai dan Kepong di Kuala Lumpur, dengan kes awal positif COVID-19 dilaporkan pada hari ini hasil saringan bersasar di tempat kerja.

"Sehingga hari ini, 346 individu sudah disaring dan daripada jumlah itu, 11 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini," katanya pada sidang media harian mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Tapak Bina Galeri di Kuala Lumpur pula membabitkan Lembah Pantai serta Cheras dengan kes awal kluster ini dilaporkan positif COVID-19 pada Rabu lalu hasil saringan bersasar di sebuah tapak pembinaan.

Sehingga hari ini, seramai 232 individu sudah disaring, dengan 16 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

Kluster ketiga ialah Kluster Bukit Dalam yang dikesan di Kuala Lumpur melibatkan Daerah Lembah Pantai dengan kes indeks (kes ke-65,320) dilaporkan positif COVID-19 pada 30 November lalu, hasil saringan individu bergejala dan sehingga hari ini, 59 individu disaring, dengan 13 kes dikesan positif.

Dr Noor Hisham berkata, selain tiga kluster itu, Kluster Cempaka dikesan di Johor membabitkan daerah Kulai dan Kluang dengan kes indeks (kes ke-68,003) yang juga kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dilaporkan positif COVID-19 pada Rabu lalu.

"Sehingga hari ini, 92 individu sudah disaring dan 10 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini," katanya.

Beliau berkata, Kluster Sungai Cincin pula dikesan membabitkan Batang Padang di Perak, Segamat di Johor dan Klang di Selangor.

"Kes indeks (kes ke-67,087) dilaporkan positif pada Selasa lalu, hasil saringan individu bergejala. Sehingga hari ini, 32 individu telah disaring, dan 15 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Huma pula dikesan di Kelantan membabitkan Pasir Puteh serta Kota Bharu apabila kes indeks (kes ke-68,020) dilaporkan positif pada Rabu lalu, hasil saringan kontak rapat dan sehingga hari ini, 80 individu disaring dengan 20 kes dikesan positif.

Katanya, Kluster Jalan Genting pula dikesan di Kuala Lumpur dan Pahang yang membabitkan Titiwangsa juga Bentong apabila kes indeks (kes ke-66,878) dilapor positif pada Isnin lalu, hasil saringan tempat kerja.

"Sehingga semalam, sejumlah 21 individu disaring, dan 14 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Atabara pula dikesan di Pahang membabitkan daerah Kuantan dan Pekan dengan kes indeks (kes ke-68,017) dilaporkan positif pada Rabu lalu, hasil saringan individu bergejala, dan sehingga hari ini 53 individu disaring, iaitu lima kes dikesan positif. – BERNAMA

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah selepas sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini.Sebanyak 1,141 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan setakat tengah hari tadi sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes yang positif di negara ini sebanyak 70,236 kes manakala yang pulih sebanyak 1,144 kes dan tiada kes kematian akibat jangkitan itu direkodkan hari ini dengan jumlah kumulatif kematian sebanyak 376 kes. - Foto BERNAMA
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah selepas sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini.Sebanyak 1,141 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan setakat tengah hari tadi sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes yang positif di negara ini sebanyak 70,236 kes manakala yang pulih sebanyak 1,144 kes dan tiada kes kematian akibat jangkitan itu direkodkan hari ini dengan jumlah kumulatif kematian sebanyak 376 kes. - Foto BERNAMA
Berita Harian X