Jumaat, 4 Disember 2020 | 5:13pm
Noor Fazilah Mohd Zin, yang mengalami masalah saraf meredah banjir selepas Kampung Rhu Muda dilanda banjir. - Foto Zatul Iffah Zolkiply
Noor Fazilah Mohd Zin, yang mengalami masalah saraf meredah banjir selepas Kampung Rhu Muda dilanda banjir. - Foto Zatul Iffah Zolkiply

Wanita hidap masalah saraf redah banjir

MARANG: Wanita yang mengalami masalah saraf terpaksa meredah banjir hampir 100 meter dengan bertongkat selepas rumahnya di Kampung Rhu Muda di sini dinaiki air, semalam.

Noor Fazilah Mohd Zin, 31, berkata hujan berterusan menyebabkan bahagian dapur rumahnya dinaiki air sedalam 0.5 meter.

Ketika kejadian, hanya Noor Fazilah berada di rumah manakala suaminya sedang bekerja manakala dua anak berusia enam dan sembilan tahun berada di rumah ibunya, Madri Rahmat, 56, yang terletak tidak jauh dari rumahnya.

"Hujan berterusan menyebabkan air naik dengan cepat dan saya yang ketika itu berseorangan mula cemas apabila melihat air semakin tinggi.

"Mujurlah adik datang ke rumah saya kira-kira jam 1 petang mengajak saya berpindah ke rumah ibu.

"Ini kali pertama kediaman dinaiki air dan saya memang takut ketika mahu meredah banjir apatah lagi dengan keadaan saya ini," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Gasing di sini, hari ini.

Noor Fazilah berkata, dia bersama keluarga yang lain kemudian dipindahkan ke pusat pemindahan itu kira-kira jam 8 malam tadi.

Sementara itu, Madri berkata, anak ketiga daripada enam beradik itu mula mengalami masalah saraf sejak enam tahun lalu.

"Saya mula bimbang dengan keadaan anak apabila memikirkan dia berseorangan lalu segera menyuruh seorang lagi anak membawanya ke rumah.

"Kalau anak sihat, saya tidak bimbang tetapi keadaannya membuatkan saya risau dan mujurlah kediaman kami terletak berdekatan antara satu sama lain," katanya.

Berita Harian X