Khamis, 3 Disember 2020 | 3:49pm

RM500,000 pulihkan Sungai Kim Kim fasa 1

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor memperuntukkan RM500,000 bagi pelan rehabilitasi Sungai Kim Kim yang dijangka bermula pada tahun hadapan.

EXCO Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata langkah itu bagi memulihkan Sungai Kim Kim yang dikategorikan sebagai amat tercemar.

Katanya, empat universiti awam (UA) iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) akan bekerjasama dengan kerajaan Johor bagi memulihkan Sungai Kim Kim secara berperingkat.

Beliau berkata, isu pencemaran kimia berbahaya di Sungai Kim Kim yang berlaku tahun lalu masih menjadi topik perbualan masyarakat negara ini sehingga kini.

"Pelan rehabilitasi Sungai Kim Kim antara lain membabitkan pembangunan pelan taman eko, program kesedaran awam kepada komuniti setempat dan pelajar sekolah serta aspek kesihatan dan panduan kecemasan sekiranya berlaku bencana.

"Peruntukkan RM500,000 itu akan disalurkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor dan

akan membabitkan kerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor selain empat UA.

"Inisiatif berkenaan akan dijalankan secara berterusan setiap tahun secara berfasa dan fasa pertama akan bermula pada 2021," katanya.

Beliau berkata demikian dalam penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Vidyananthan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang berkata , JAS Johor amat memandang serius isu pencemaran sungai di negeri ini termasuk Sungai Kopok di Kampung Perigi Acheh, Pasir Gudang.

"JAS menjalankan pemeriksaan berterusan ke atas premis-premis industri yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat termasuk yang melepaskan efluen ke Sungai Daing dan Sungai Kopok.

"Mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, penguatkuasaan sudah diambil ke atas industri yang tidak mematuhi akta berkenaan, merangkumi 52 notis arahan, 150 kompaun, 2 penahanan kelengkapan operasi dan 10 kertas siasatan pendakwaan," katanya.

Vidyananthan berkata, JAS juga akan mempertingkatkan pemantauan menggunakan dron ke atas punca-punca pencemaran sungai negeri ini dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT).

Berita Harian X