Khamis, 3 Disember 2020 | 3:36pm
Pengerusi Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh (tengah) bersama sebahagian ahli PAC
Pengerusi Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh (tengah) bersama sebahagian ahli PAC

'Kereta terbang bukan keutamaan MEDAC' - PAC

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dimaklumkan, pembangunan super drone atau kereta terbang bukan keutamaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) buat masa ini.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, berkata sebaliknya kementerian itu memberi tumpuan terhadap pembangunan keusahawanan khasnya perniagaan kecil dan sederhana serta mikro.

Beliau berkata, perkara itu dijelaskan Ketua Setiausaha MEDAC, Datuk Suriani Ahmad, dalam pembentangan tindakan susulan kementerian itu kepada PAC pada 11 November lalu.

"Pembentangan MEDAC kepada PAC itu, dibuat susulan daripada syor laporan PAC berhubung pembangunan Air Mobility yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 28 November 2019," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kah Woh berkata, PAC turut berpuas hati dengan keterangan Jabatan Audit Negara yang menjalankan pengauditan terperinci terhadap Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) dan mendapati tidak wujud penggunaan RM20 juta pelaburan anak syarikatnya iaitu Venture Tech Sdn Bhd (VTSB) dalam pembangunan kereta terbang.

"PAC juga mendapati dokumen perjanjian pelaburan VTSB telah memperuntukkan dengan jelas bahawa RM20 juta pelaburan oleh VTSB tidak boleh digunakan untuk tujuan berkaitan kereta terbang," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X