Selasa, 1 Disember 2020 | 6:28pm
Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA Bidor, Perak, Superintendan Rosman Kasman (kiri) menyerahkan tugasnya kepada Pegawai Pemerintah Batalion 2 PGA Kulim untuk menjalankan tugas menjaga sempadan di Markas Taktikal Briged Utara PGA Bukit Kayu Hitam disaksikan Timbalan Komander Briged Utara, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA Bidor, Perak, Superintendan Rosman Kasman (kiri) menyerahkan tugasnya kepada Pegawai Pemerintah Batalion 2 PGA Kulim untuk menjalankan tugas menjaga sempadan di Markas Taktikal Briged Utara PGA Bukit Kayu Hitam disaksikan Timbalan Komander Briged Utara, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli

Kawalan sempadan kini dilaksana Batalion 2 PGA Kulim

BUKIT KAYU HITAM: Penugasan kawalan sempadan Malaysia-Thailand yang dilaksana Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 3 Bidor, Perak, berakhir semalam, apabila tugas itu kini dipikul Batalion 2 PGA Kulim bermula hari ini.

Timbalan Komander Briged Utara, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata pihaknya berbangga dengan kesungguhan ditunjukkan anggota pasukan Senoi Praaq terbabit, tanpa melupakan kesedihan susulan kejadian membabitkan dua anggotanya minggu lalu.

Beliau berkata, kejadian serangan ke atas dua anggota PGA oleh penyeludup di Pos TS9 dekat Padang Besar pada 24 November lalu, nyata memberi kesan kepada pasukan itu.

"Dalam kejadian itu, anggota kami Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkorban ketika berbalas tembakan dan Sarjan Norihan Tari, 39, cedera di perut dan kini sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).

"Namun dengan amanah dan tanggungjawab yang dilaksanakan, anggota Batalion 3 turut berjaya menahan 21 lelaki disyaki penyeludup," katanya pada Majlis Serah Terima Tugas di Markas Taktikal Briged Utara PGA Bukit Kayu Hitam di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Pegawai Pemerintah Batalion 3, Superintendan Rosman Kasman menyerahkan penugasan kawalan sempadan kepada Pegawai Pemerintah Batalion 2, Superintendan Md Dali Jamil.

Nasaruddin berkata, kejadian itu membuka mata semua pihak dan agensi berkaitan sempadan untuk bekerjasama demi menjaga keamanan negara.

Katanya, pelbagai unit termasuk Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU), Komando VAT69, unit kereta perisai dan unit berkuda dihantar bagi melakukan rondaan di sempadan sepanjang 109 kilometer bermula dari Bukit Kayu Hitam hingga ke Padang Besar.

"Saya berharap anggota PGA menjalankan tugas masing-masing demi menjaga keamanan negara, walaupun masih wujud laluan tikus dan kekangan tembok sempadan serta pagar yang sudah rosak.

"Namun itu bukan alasan untuk kita tidak menjalankan tugas menjaga sempadan negara walaupun penyeludup kini kian terdesak berikutan pagar sempadan negara masih ditutup berikutan COVID-19," katanya.

Beliau berkata, dalam penugasan Ops Benteng/Ops Wawasan Kedah dan Perlis bermula 1 November hingga semalam, Batalion 3 PGA berjaya mencatat kejayaan rampasan pelbagai barangan yang cuba diseludup masuk dan keluar dari negara ini bernilai RM179,554.

Katanya, antara barangan yang dirampas termasuk 4,383 kilogram (kg) daun ketum, 190.4 liter ubat batuk, 8.1 gram dadah jenis syabu (methampetamine), 1.17 gram heroin, 20 liter cecair ketum dan 7,750 gram ganja.

"Keseluruhan rampasan membabitkan 45 kes di mana 42 kes di kawasan tanggungjawab Perlis dan dua kes di Kedah.

"Semua kes berkenaan disiasat mengikut pelbagai Akta Dadah Berbahaya 1952, pelbagai Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat), 302 Kanun Keseksaan, Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Akta Racun 1952," katanya.

Berita Harian X