Selasa, 1 Disember 2020 | 2:22pm
Manual Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) disediakan sebagai panduan guru bagi pelaksanaannya secara berstruktur dan terancang. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Manual Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) disediakan sebagai panduan guru bagi pelaksanaannya secara berstruktur dan terancang. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

PARLIMEN: Manual PdPR bantu pembelajaran murid

KUALA LUMPUR: Manual Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) disediakan sebagai panduan guru bagi pelaksanaannya secara berstruktur dan terancang.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata manual itu antara lain bagi memastikan murid dapat mengikuti pembelajaran secara optimum.

Katanya, Manual PdPR itu meliputi pendekatan secara dalam talian, luar talian dan off-site, sama ada menggunakan modul pembelajaran atau pembelajaran berasaskan projek, selain sentiasa berusaha memastikan semua murid mendapat akses pembelajaran.

Beliau berkata, strategi pelaksanaan komprehensif dalam memperkasa pendidikan digital negara sedang dirangka dengan antara tumpuan utama ialah meningkatkan akses internet dan pemilikan peranti murid sekolah di seluruh negara.

"Bagi membantu murid yang tidak mempunyai akses internet atau peranti sesuai, guru mengambil inisiatif melaksanakan PdP melalui serahan bahan pembelajaran kepada murid mengikut kesesuaian.

"Murid juga boleh menggunakan buku teks cetak sebagai bahan rujukan, penyediaan nota, membuat rumusan atau melukis sesuatu konsep, manakala buku aktiviti pula boleh digunakan untuk membuat latihan ulang kaji.

"Guru mentaksir murid secara berterusan mengikut kesesuaian dan melaksanakan intervensi mengikut tahap dan keupayaan murid," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) mengenai usaha memastikan kualiti pembelajaran murid dikekalkan berikutan penutupan sekolah.

Hang Soon berkata, pengajaran dan pembelajaran (PdP) turut dilaksanakan melalui siaran televisyen pendidikan (TV Pendidikan) yang diperkenal semula secara terestrial, mulai 6 April lalu.

Beliau berkata, inisiatif itu bertujuan membantu murid tidak mendapat atau mempunyai akses internet atau peranti untuk mengikuti pembelajaran di rumah dengan keseluruhan siaran TV Pendidikan berjumlah sembilan jam sehari.

"Ia bermula dengan siaran selama dua jam di TV Okey RTM, ditambah di Tutor TV Astro selama empat jam.

"Terkini, kita memulakan siaran TV Pendidikan selama tiga jam di NTV7 pada 23 November lalu," katanya.

Hang Soon berkata, kementerian turut melaksanakan penjajaran kurikulum semua subjek berdasarkan kurikulum sedia ada, kecuali bagi murid Tingkatan Lima, membabitkan penyusunan semula kandungan, pedagogi dan pentaksiran berdasarkan hasil pembelajaran dihasratkan.

Melalui penjajaran itu, katanya, guru boleh merancang pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan melaksanakan kaedah pembelajaran teradun, membabitkan gabungan teknik pengajaran bersemuka di kelas atau pembelajaran di rumah dirancang secara berstruktur.

"Kementerian turut memberi bimbingan pelaksanaan kurikulum dijaja dalam tempoh persekolahan berbaki bagi 2020 termasuk kunjung bantu dan penerangan secara dalam talian," katanya.

Berita Harian X