Isnin, 30 November 2020 | 7:50pm

COVID-19: 23,408 kes sporadik jangkitan dalam komuniti

PUTRAJAYA: Sebanyak 23,408 kes COVID-19 atau 35.7 peratus yang dikesan di negara adalah kes sporadik atau dikenal pasti sebagai kes jangkitan dalam komuniti.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata peratusan itu adalah daripada jumlah keseluruhan kes yang dicatatkan di negara ini iaitu sebanyak 65,697 kes.

Beliau berkata, ada juga kes yang sebelum ini dikategorikan sebagai sporadik namun selepas menjalankan aktiviti pengesanan kontak rapat ia kemudiannya dikaitkan dengan kluster tertentu.

"Seperti yang saya kata sebelum ini, virus COVID-19 ini sudah ada dalam komuniti kita. Sebab itu kita mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk elak diri kita dari dijangkiti," katanya dalam sidang media COVID-19, di sini hari ini.

Ditanya sekiranya terdapat kes yang dikesan berpunca daripada penggunaan pengangkutan awam, Dr Noor Hisham berkata, bagi gelombang ketiga ini tiada kes seumpama itu dikesan.

"Namun kes seperti ini ada dilaporkan ketika gelombang kedua iaitu dalam Kluster pesakit bawah siasatan (PUI) Melbourne yang mendapat jangkitan di dalam kapal terbang.

"Kemungkinan (jangkitan dalam pengangkutan awam) itu akan berlaku dan rakyat dinasihatkan untuk patuh SOP seperti memakai pelitup muka ketika di tempat sesak dan sempit.

"Paling penting untuk kita ialah sentiasa mematuhi SOP dan lakukan langkah pencegahan," katanya.

Berita Harian X