Ahad, 29 November 2020 | 5:11pm
(Gambar fail) Pagar kawat dipasang di kawasan Taman Telipok Ria yang dikenakan PKPD. - FOTO BERNAMA
(Gambar fail) Pagar kawat dipasang di kawasan Taman Telipok Ria yang dikenakan PKPD. - FOTO BERNAMA

COVID-19: PKPD di Kampung Numbak, Penempatan Telipok dilanjutkan hingga 13 Disember

KUALA LUMPUR: Tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Numbak dan Penempatan Telipok di Kota Kinabalu, Sabah, dilanjutkan hingga 13 Disember depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan untuk melanjutkan tempoh selama 14 hari bermula esok itu dibuat berikutan masih ada lebih 200 kes aktif COVID-19 di kedua-dua lokasi berkenaan.

"Setakat kelmarin, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan masih ada 109 kes aktif di Kampung Numbak, serta 136 kes aktif di Penempatan Telipok.

"Selain jumlah kes aktif yang masih tinggi, ada ramai lagi penduduk di kedua-dua lokaliti itu perlu menjalani ujian saringan.

"Justeru berdasarkan penilaian risiko dan nasihat KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di Kampung Numbak dan Penempatan Telipok selama 14 hari lagi, bermula esok hingga 13 Disember depan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

PKPD di kedua-dua lokaliti itu yang memiliki sejumlah kira-kira 21,000 penduduk, mula dilaksanakan pada 16 November lalu dan dijadualkan berakhir hari ini.

Prosedur operasi standard (SOP) PKPD bagi kawasan itu adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini.

Antaranya, kedai runcit dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 6 petang, manakala pasar pula dibenarkan beroperasi dua kali seminggu bermula jam 6 pagi hingga 2 petang.

Selain itu, seorang wakil daripada setiap keluarga dibenarkan keluar dari kawasan PKPD bagi tujuan mengeluarkan duit daripada mesin pengeluaran wang (ATM) atau bank, dengan kebenaran pihak berkuasa yang membuat kawalan di jalan keluar masuk kedua-dua lokaliti terbabit.

Berita Harian X