Ahad, 29 November 2020 | 1:18pm
Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

18 sungai di Johor berada dalam kelas 4

ISKANDAR PUTERI: Sebanyak 18 sungai di Johor dikategorikan dalam Kelas 4 iaitu hanya sesuai digunakan untuk pengairan manakala, 47 lagi berada dalam Kelas 3, yang memerlukan rawatan intensif.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata sebanyak 59 sungai di negeri ini berada dalam Kelas 2 iaitu air sungai memerlukan rawatan konvensional.

Katanya, Johor mempunyai sebanyak 399 jumlah sungai namun tidak semuanya dipantau dan diawasi Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor secara terperinci.

"Pengawasan kualiti air sungai yang dilaksanakan oleh JAS Johor membabitkan 23 lembangan sungai yang merangkumi 126 batang sungai.

"Pengawasan kualiti air sungai adalah lebih kepada fungsi dan justifikasi tertentu untuk memantau impak industri kepada ambient sungai serta aliran sungai yang memasuki loji rawatan air mentah," katanya.

Vidyanantan menjawab soalan tambahan Datuk Syed Sis Abdul Rahman (UMNO-Tanjong Surat) yang bertanyakan jumlah sungai tercemar di negeri ini pada Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-14, di sini hari ini.

Sementara itu,Vidyananthan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang berkata, Johor merekodkan 140 aduan berkaitan pencemaran sungai di negeri ini antara Januari hingga Oktober tahun ini.

Bagaimanapun katanya, semua aduan berkenaan sudah disiasat dan diambil tindakan susulan.

"Tindakan perundangan menerusi Akta Kualiti Alam Sekelililing 1974 dan peraturan seperti kompaun, Notis Arahan, Perintah Penahanan Operasi dan tindakan mahkamah turut dikenakan terhadap premis yang didapati gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.

"Antara jenis pencemaran yang dikesan termasuklah sampah sarap domestik/pepejal; aktiviti tapak pembinaan; aktiviti lombong/pengorekan pasir sungai; aktiviti ladang racun/pembajaan; aktiviti ladang penternakan ayam/babi; aktiviti industri/bengkel dan aktiviti pembandaran.

"Selain itu, pencemaran aktiviti kumbahan (loji kumbahan/perumahan/industri); aktiviti menangkap ikan (cara menuba ikan); tumpahan minyak/bahan kimia dan air larut resapan (leachate) dari tapak pelupusan sampah turut menjadi faktor utama pencemaran sungai di Johor, " katanya.

Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata dalam menangani masalah pencemaran sungai, JAS Johor adalah agensi utama yang dipertanggungjawab dalam mengawal pelepasan daripada premis industri, loji kumbahan dan air larut resap (dari tapak pelupusan sampah) melalui penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekelililing 1974.

Katanya, JAS Johor turut membuat pemantauan kualiti air secara berkala ke atas sebahagian besar sungai-sungai utama di negeri ini yang menjadi sumber air mentah bagi loji rawatan air minum.

"Bermula tahun ini, JAS Johor mempertingkatkan program penguatkuasaan dengan mengadakan OPS Gempur ke kilang yang dikategorikan sebagai bermasalah di seluruh Johor dan di kawasan tumpuan seperti di Pasir Gudang.

"Sasaran operasi antaranya adalah terhadap premis yang terletak di hulu takat pengambilan air.

"Tindakan perundangan seperti kompaun, Notis Arahan, Perintah Penahanan Operasi dan tindakan mahkamah sudah dikenakan terhadap premis-premis yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.

"Antara contoh aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan oleh JAS adalah terhadap kilang perindustrian; kilang kelapa sawit; kilang getah dan kilang-kilang yang memproses/ mengitar semula buangan terjadual termasuk juga loji jana kuasa; loji pengolahan kumbahan milikan kerajaan dan swasta; klinik; bengkel; hospital; hotel; kuari; gudang dan sebagainya," katanya.

Berita Harian X