Jumaat, 27 November 2020 | 7:46pm
Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) mengawal ketat Pos Sekatan Jalan Raya Taman Radzi, Padang Besar. -Foto BERNAMA
Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) mengawal ketat Pos Sekatan Jalan Raya Taman Radzi, Padang Besar. -Foto BERNAMA

Sedia wujudkan pos kawalan tentera baharu di sempadan

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersedia mewujudkan pos kawalan tentera baharu di sempadan negara jika perlu untuk menangani isu penyeludupan secara menyeluruh.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pihaknya juga sedang menimbang keperluan terhadap penambahan anggota penguatkuasaan di kawasan terbabit.

"Ada dakwaan mengatakan banyak pagar di kawasan sempadan dipotong kumpulan individu yang menyeludup masuk dalam negara ini.

"Kita perlu lihat sama ada pagar itu kena dibaik pulih. Perkara ini dalam perhatian National Task Force (NTF) supaya perkara ini dapat dilihat secara menyeluruh.

"Yang penting juga kita perlu mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan di kawasan sempadan dan utara Semenanjung negara," katanya pada sidang media di ibu pejabat Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.

Anggota Batalion 2, Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim menjaga pagar sempadan Malaysia-Thailand dekat Padang Besar. - Foto BERNAMA
Anggota Batalion 2, Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim menjaga pagar sempadan Malaysia-Thailand dekat Padang Besar. - Foto BERNAMA

Mengulas lanjut, Ismail Sabri turut menzahirkan penghargaan kepada pihak berkuasa Thailand yang menyatakan hasrat membantu Malaysia bagi mengekang aktiviti jenayah sempadan.

"Seperti saya katakan di bawah NTF ada Ops Benteng diketuai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Saya sudah berbincang dan meminta Panglima ATM (Jeneral Tan Sri Affendi Buang) memanggil mesyuarat segera dengan agensi beruniform lain seperti polis. Ia supaya kita dapat gembleng seluruh tenaga dan kerjasama secara bersepadu," katanya.

Anggota Batalion 2, Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim menjaga pagar sempadan Malaysia-Thailand dekat Padang Besar. - Foto BERNAMA
Anggota Batalion 2, Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim menjaga pagar sempadan Malaysia-Thailand dekat Padang Besar. - Foto BERNAMA

Sebelum ini, pihak berkuasa Thailand dilaporkan sedia memberi kerjasama mempergiat kawalan keselamatan di sempadan Thailand-Malaysia susulan insiden seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) maut ditembak ketika bertugas di Perlis, pada Selasa lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Sempadan Serantau (RBC) Thailand-Malaysia, Leftenan Jeneral Kriangkrai Srirak dipetik berkata, pihaknya akan mempertingkat kawalan di sepanjang sempadan termasuk mempergiat rondaan dan mewujudkan pos kawalan di lokasi strategik bagi mengekang kegiatan penyeludupan.

Berita Harian X